Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini mengeluarkan perintah tutup mulut terhadap 15 aktivis anti-Lynas yang telah dituduh menyertai perhimpunan haram dan rusuhan.

Hakim Mahkmah Sesyen Zainal Abidin Kamarudin memerintahkan

mereka supaya tidak membincangkan kes itu di media sosial sebagai syarat tambahan pembebasan mereka dengan ikat jamin, selain perlu melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan.

Ini berikutan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Kalmizan Salleh supaya dua syarat itu dikenakan.

Pada mulanya, Kalmizan mahu tertuduh dihalang daripada meninggalkan Kuantan dan juga melarang mereka berada dalam lingkungan 20 meter dari loji penapisan nadir bumi Lynas di Gebeng, yang terletak berhampiran ibu negeri Pahang.

Peguam mereka, Gobind Singh Deo, yang juga ahli Parlimen Puchong, berkata melarang anak guamnya daripada mengulas mengenai kes itu dalam media sosial adalah pelanggaran hak kebebasan mereka bersuara.

Berikutan ini, Gobind (dalam tali leher merah) akan membuat

permohonan kepada Mahkamah Tinggi di Kuantan untuk mengenepikan syarat tersebut.

Terdahulu, Zainal juga menetapkan ikat jamin RM2,500 ke atas semua tertuduh.

Daripada 15 orang, lima daripada mereka, termasuk naib pengerusi jawatankuasa pemandu Himpunan, Phua Kia Yeow, berdepan dengan tuduhan merusuh, di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan. Yang lainnya ialah Ho Kam Huat, Foong Poh Choo, Wong Chee Wai dan Wong Chee Wen.

Manakala 10 orang lagi, termasuk pemimpin Himpunan Hijau, Wong

Tack (di sebelah kiri), dituduh menyertai perhimpunan haram kerana tidak mematuhi arahan bersurai, yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Abdul Aziz Salleh.

Sembilan orang lagi ialah Raymond Ng Abdullah, Chong Kong Yuen, DAP superman Hew Kuan Yau, Thomas Wang, Ta Weng Seng, Lee Khai Ming, Rapar Ahmad, Tan Chee Hooi dan Zamri Zonal.

Mereka dituduh tidak bersurai daripada perhimpunan haram di Jalan Bandaran di Gebeng, antara jam 4 petang hingga 5.30 petang pada 22 Jun, walaupun arahan dikeluarkan oleh Abdul Aziz.

Sementara itu, Ho, selain dituduh di bawah Seksyen 147, turut menghadapi satu lagi tuduhan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang polis dengan menendang Koperal Isaher @ Azhar Abd Hamid.

Hakim Sesyen Zainal Abidin menetapkan 2 September ini untuk sebutan kes itu. Semua 15 orang itu dibebaskan selepas masing-masing membayar ikat jamin RM2,500.

Selain Gobind, peguam yang mewakili tertuduh ialah S Prakash dan Revin Jay Kumar.

[Baca berita penuh]