'Media bebas' Australia pun tak sebebas mana...
KOMEN Di Australia kami suka bercakap mengenai berbezanya media di negara-negara lain berbanding dengan media 'bebas' yang kami nikmati di negara kami.
Namun, selepas minggu ini, hujah tersebut mungkin agak sukar untuk diterima lagi.
Semalam, Wikileaks mengeluarkan satu dokumen yang mendedahkan perintah sekatan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Agung Victoria.
Perintah itu melarang media Australia melaporkan apa yang menurut Wikileaks satu kes mahkamah yang sedang berlangsung berhubung dakwaan bayaran rasuah oleh ejen Reserve Bank of Australila (RBA) Securency and Note Printing, kepada pegawai kerajaan di beberapa negara Asia Tenggara.
Dokumen tersebut juga menyenaraikan ahli-ahli politik dari Malaysia, Vietnam dan Indonesia, yang nama mereka dilarang disiarkan oleh media Australia berhubung dengan kes itu.
Memandangkan media Australia akan berdepan dengan tindakan undang-undang jika menyebut kes tersebut, maka beberapa akhbar hari ini menyiarkan artikel yang mengesahkan kebocoran itu tanpa menyebut kaitannya.
Dokumen rahsia dan laporan berita mengenainya dikongsi meluas melalui rangkaian media sosial, tetapi seorang pakar undang-undang yang mengulas untuk akhbar The Age berkata mereka yang berkongsi pautan Wikileaks dalam talian, juga berpotensi berdepan dengan tindakan undang-undang.
Dalam satu kenyataan akhbar dalam talian, pengasas Wikileaks Julian Assange berkata, "Ini bukan semata-mata satu persoalan mengenai kerajaan Australia gagal untuk membolehkan kes rasuah antarabangsa ini diberi satu penelitian awam seperti yang sepatutnya.
"Kerajaan Australia tidak sekadar menutup mulut akhbar, tetapi juga menutup mata rakyat Australia.
"Menteri Luar [Australia] Julie Bishop mesti menjelaskan mengapa beliau mengancam setiap rakyat Australia dengan hukuman penjara, dalam percubaan untuk menutup skandal rasuah yang memalukan yang melibatkan kerajaan Australia."
Perintah larangan ke atas semua media Australia itu tidak pernah berlaku sejak kebelakangan ini dan ini menyebabkan rakyat Australia tidak menyedari sepenuhnya mengenai salah satu skandal rasuah terbesar di negara itu dan juga di rantau ini.
Bagaimanapun dalam zaman Internet ini, perintah larangan seperti itu biasanya akan menemui kegagalan.
JARNI BLAKKARLY adalah seorang wartawan Australia dan bekas pelatih di Malaysiakini . Anda boleh mengikutinya di twitter @jarniblakkarly.

