ULASAN Berikutan kenakan tol di CIQ Johor Bahru, terdapat impak negatif yang sangat besar terhadap pelaburan di Iskandar Johor. Sektor hartanah juga dijangka akan menerima tamparan yang hebat berikutan dengan pelarasan kadar tol yang tidak munasabah.

Berlandaskan angka terbaru daripada Menteri Besar Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin, pembangunan wilayah Iskandar Johor telah menerima pelaburan komited terkumpul sebanyak RM146.2 bilion dari tahun 2006 sehingga Jun 2014. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM69.53 bilion membabitkan pelaburan yang telah direalisasikan.

Menurut laporan daripada Iskandar Malaysia, wilayah pembangunan Iskandar mensasarkan pelaburan terkumpul sebanyak RM383 billion menjelang tahun 2025.

Berlandaskan angka yang diberikan, setelah sembilan tahun wilayah Iskandar dilancarkan sejak 2006, ia hanya mencatatkan pelaburan komited sebanyak RM146.2 billion, iaitu hanya 38.2 peratus daripada angka sasaran. Manakala untuk pelaburan yang telah direalisasikan, angka yang dicapai -  RM69.53 billion - hanya merupakan 18.2 peratus.

Angka tersebut dianggap amat rendah dan jauh daripada sasaran kerana sudah hampir separuh daripada tempoh sasarn telahpun berlalu, iaitu selama sembilan  tahun dan hanya tinggal 11 tahun lagi untuk mencapai sasaran.

Oleh itu, adalah dirasakan bahawa kenaikan tol itu akan melambatkan lagi pembangunan di CIQ serta meletakkan angka pelaburan lagi jauh dari angka sasaran menjelang 2015. Ini kerana kenaikan tol di CIQ akan melambatkan ekonomi tempatan di Johor Bahru dan seterusnya mempengaruhi keputusan para pelabur untuk melabur di wilayah Iskandar. Kesan berantai daripada kenaikan tol di CIQ tidak boleh dipandang remeh.

Iskandar Malaysia juga mempunyai visi untuk menjadikan wilayah Iskandar sebagai wilayah metropolis yang lestari serta kental yang mempunyai standard antarabangsa. Visi ini hanya boleh dicapai dengan adanya keadaan pentas ekonomi yang mesra dan bukannya diselubungi dengan polisi yang membebankan rakyat

Isu yang seterusnya adalah berkaitan dengan sektor hartanah di Johor Bahru. Kenaikan tol di CIQ akan mempercepatkan proses pelarasan teknikal bagi sektor hartanah di Johor Bahru, selain tidak menolak kemungkinan besar gelumbumg hartanah di Johor Bahru akan pecah lebih awal. Andaian tersebut adalah berlandaskan faktor berikut:

Berdasarkan jawapan yang diberikan oleh kerajaan Johor pada Jun 2014 mengenai projek perumahan kondominium dan bilangan unit setiap projek yang telah diluluskan untuk pembangunan di Iskandar Johor dari tahun 2011 ke 2014, terdapat 24 tapak pembangunan di bawah pentadbiran MBJB dan MPJBT telah pun diluluskan untuk pembangunan.

Daripada 24 tapak pembangunan tersebut, jumlah unit kondominium yang telah diluluskan adalah sebanyak 8,338 unit. Untuk perhatian, jumlah tersebut hanya merupakan jumlah unit yang telah diluluskan untuk pembangunan dan tidak termasuk jumlah bilangan unit dalam pelan induk.

Selain itu, data daripada National Property Information Centre (Napic) juga menunjukkan bahawa terdapat lebih kurang 300,000 unit rumah akan dibina dalam masa terdekat ini.

Iskandar Waterfront holding Bhd juga dijangka melancarkan pembinaan lebih daripada 4,000 unit rumah yang akan disiapkan menjelang 2017.

Sementara itu, Hwang-DBS Vickers Research juga meramalkan Country Garden melancarkan 9,000 unit kondominium yang akan disempurnakan dalam masa tiga ke empat tahun ini. Mengikut laporan, sebuah syarikat yang disenaraikan dalam bursa saham Hong Kong, Guangzhou R&F Properties Co Ltd juga akan membangunkan 19 blok bangunan pencakar langit di Johor Bahru. Selain itu, pembangunan Forest City yang mendekati 2,000 hektar juga akan meningkatkan bekalan hartanah di Johor.

Lantaran itu, dengan bekalan hartanah yang tinggi ini, maka Johor amat memerlukan pelabur dari negara asing bagi meningkatkan permintaan untuk mendukong sektor hartanah di Johor Bahru.

Kenaikan kadar tol di CIQ pasti akan menonjolkan sikap yang lebih waswas daripada negara jiran untuk melabur di Malaysia. Kesan rantaian daripada kenaikan ini yang membantutkan ekonomi tempatan juga akan mengurangkan permintaan tempatan dalam sektor hartanah.

Berlandaskan factor-faktor tersebut yang mempengaruhi pelaburan wilayah Iskandar serta sektor hartanah, keputusan pelarasan tol di CIQ patut dibatalkan.

Justeru itu, kami meminta kerajaan akan memperhalusi isu pelarasan tol di CIQ semasa dalam mesyuarat kabinet. Dalam kes ini, banyak sektor telah pun dipengaruhi dengan kesan negatif yang melibatkan banyak kementerian.

Kami meminta agar menteri yang terlibat seperti menteri luar negeri, menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan, menteri perdangangan antarabangsa dan industri, menteri pelancongan dan kebudayaan, menteri pengangkutan, menteri perdagangan dalam negeri, menteri sumber manusia dan menteri-menteri yang lain boleh menasihat perdana menteri dan timbalan perdana menteri agar membatalkan pelaksanaan kenaikan tol di CIQ.


ANDREW CHEN KAH ENG adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Stulang.