BERITA

Pegawai MB S'gor bersemuka dengan Rafizi

Radzi Razak

Diterbitkan
Dikemaskini 6 Ogs 2014, 5:23 pagi

Seorang pegawai pejabat menteri besar Shazni Munir Mohd Ithnin tampil bersemuka dengan Rafizi Ramli di sebuah forum di ibunegara malam tadi di mana pengarah strategi PKR itu menjelas sebab mengapa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu ditolak.

Di hadapan kira-kira 300 hadirin yang rata-rata menentang Khalid, Shazni bertanya kepada Rafizi bagaimana keputusan menukar Khalid diputuskan pada Januari sedangkan penyelesaian luar mahkamah kes hutangnya dengan bank Islam hanya berlaku pada Februari.

Beliau merasakan ianya pelik untuk PKR menjadikan kes penyelesaian hutang itu sebagai sebab utama untuk menolak Khalid kerana tiada bukti jelas dan konkrit kerana menurutnya ia hanya bersandarkan kepada persepsi semata-mata.

"Tolong beritahu adakah ia hanya andaian," tanya Shazni dengan hadirin bersorak menyokong Rafizi.

Rafizi kemudianya mengakui kaitan antara Khalid dan seorang peguam yang rapat dengan Umno hanya disahkan minggu lalu menerusi kenyataan seorang setiausaha politik menteri besar itu sendiri.

"Kerana buat keputusan Langkah Kajang itulah berlaku rentetan tindakan yang dibuat itu timbulkan keraguan integriti beliau (Khalid).

"Kepada Shazni, penyelesaian hutangnya berlaku dua minggu selepas itu, mana satu andaian jahat?

"Mana satu yang lebih masuk akal? Kerana hal itu beliau percepatkan perjanjian dan penyelesaian luar mahkamah," kata Rafizi.

Rafizi turut ditujukan soalan oleh beberapa hadirin lain mengapa Khalid masih diberi peluang bertanding sekiranya Pakatan sebelum ini telah mengesyaki beliau.

Rafizi menyatakan sekiranya perkara tersebut diumumkan lebih awal, Khalid akan menggunakan peluang ini untuk menyerang Pakatan Rakyat.

"Kalau tukar Khalid awal-awal sebelum pilihan raya, saya tak yakin Khalid tidak akan masuk TV menentang kita," kata beliau.

Dokumen 91 halaman

Dalam dokumen penjelasan 91 halaman kepada PAS dengan salinan kepada DAP, PKR antaranya memaklumkan terdapat "keraguan munasabah" dalam isu penyelesaian hutang RM59.5 juta.

Dokumen itu membangkitkan bagaimana rundingan penyelesaian tuntutan hutang luar mahkamah dipercepat selepas PKR mengumumkan Langkah Kajang pada 28 Januari lalu.

Dalam bentuk kronologi, dokumen itu juga memperincikan kes itu bermula keputusan mahkamah dan persoalan integritinya selepas pelupusan hutangnya secara mengejut.

Sementara itu Pengerusi DAP Selangor Tony Pua mengkritik Khalid kerana tidak efisien.

Beliau berkata banyak projek terbengkalai seperti projek pembersihan Sungai Klang bernilai RM10 juta yang diumumkan pada 2009 dan projek ternakan babi berpusat yang diumumkan pada 2008 yang masih tidak disambung sehingga sekarang.

Beliau berkata sampai masanya orang lain diberi peluang untuk memulihkan imej Pakatan di Selangor.

"Ya, ini penggal terakhir Khalid, saya tak mahu ia jadi penggal terakhir Pakatan," kata beliau.

Menariknya beliau langsung tidak menyentuh isu Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) yang dimainkan DAP sebelum ini.

Aktivis politik Hishamuddin Rais pula yakin Khalid telah dikawal oleh Umno berdasarkan perkembangan sejak selepas pilihan raya umum ke-13 tahun lalu.

Beliau berkata sesiapa yang disokong oleh media milik Umno, tidak boleh dipercayai Pakatan.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.