Bantahan di CIQ, polis rekod 40 keterangan
Polis merekodkan 40 keterangan daripada pelbagai individu bagi membantu siasatan berhubung bantahan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, di Johor Bahru Jumaat lepas, berikutan pelaksanaan kadar tol baru.
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata satu pasukan khas yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Hasnan Hassan ditubuhkan untuk menyiasat kes berkenaan dan mengenal pasti kesemua yang terlibat termasuk dalang serta penganjur.
"Kita (polis) merakamkan 40 percakapan dan kertas siasatan itu akan dilengkapkan segera untuk dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.
Mohd Mokhtar berkata pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012, Akta Kanun Keseksaan, Akta Bahan Kakisan/Senjata Berbahaya, Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Dadah Berbahaya, Akta Hasutan dan Undang-Undang Kesalahan Kecil.
Beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan dan tidak bertindak sesuka hati termasuk menghalang lalu lintas kerana membantah pelaksanaan kadar tol baru berkenaan.
Dalam kejadian 1 Ogos lepas, 200 pemandu bas kilang dikatakan enggan memasuki Singapura yang menyebabkan laluan trafik sesak di CIQ mulai 4 pagi dan berakhir empat jam kemudian.
Tindakan itu menyebabkan ribuan pekerja terpaksa berjalan kaki menyeberang Tambak Johor sebelum menaiki bas penumpang di Woodlands.
Kejadian itu dikatakan berpunca akibat pengumuman Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berhubung kadar baharu tol arah masuk CIQ iaitu bagi kenderaan Kelas 1 hingga Kelas 5 masing-masing bernilai RM9.70, RM14.70, RM19.70, RM4.80 dan RM7.80, manakala bagi kadar arah keluar bernilai RM6.80, RM10.20, RM13.60, RM3.40 dan RM5.50 yang bermula 1 Ogos.
Ekoran itu, polis mengeluarkan 100 saman kepada pemandu bas kilang yang menghalang lalu lintas di CIQ berkenaan kerana meletakkan kenderaan di bahu jalan utama.
- Bernama

