Sokong Khalid urusan dalaman PAS, kata Rafizi
Pengisytiharan sokongan Majlis Syura Ulama PAS kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim adalah "urusan dalaman" parti itu dan PKR menunggu kata putus Jawatankuasa PAS, kata Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli.
Beliau yang juga anggota parlimen Pandan turut berkata PKR tidak mempunyai sebarang urusan untuk masuk campur dalam parti Islam itu.
"Saya fikir ia adalah urusan dalaman PAS. Kita akan tunggu (jawatankuasa) PAS untuk memutuskannya... PAS akan memaklumkan keputusan mereka kepada kami.
"Saya rasa eloklah kita tunggu keputusan itu," katanya sewaktu ditemui pada majlis makan malam bersama penduduk Ampang semalam bagi mengulas keputusan Majlis Syura PAS.
Majlis Syura Ulama PAS melalui Mursyidul Amnya Datuk Seri Nik Abdul Nik Mat dan timbalannya, Datuk Haron Din dalam kenyataan bersama mereka menyokong Khalid kekal sebagai menteri besar.
Kenyataan itu menyebut bahawa sokongan itu adalah demi kepentingan orang ramai yang melangkaui kepentingan parti dan individu.
Sementara itu, mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat sekali lagi telah ditangguhkan ke tarikh 17 Ogos.
Penangguhan itu adalah kali yang kedua selepas mesyuarat sama yang dijadual berlangsung pada 10 Ogos ditangguh ke 13 Ogos.

