SUA PAS nafi terima borang keahlian Khalid
Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali menafikan maklumat yang tersebar dalam media sosial yang mendakwa beliau menerima borang permohonan keahlian PAS daripada Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.
"Laporan (tentang dakwaan) itu tidak betul," katanya yang juga pengerusi Harakah kepada Malaysiakini .
Sementara itu, portal Harakahdaily memetik Mustafa mengingatkan ahli dan pendokong PAS supaya tidak terpedaya dengan laporan palsu yang menggunakan nama Harakah ekoran krisis yang berlaku di Selangor.
"Contoh laporan guna nama Harakah yang tidak betul itu ialah kononnya saya telah menerima borang permohonan menjadi ahli PAS daripada Tan Sri Khalid.
"Ini memang tidak betul dan sangat mengelirukan orang ramai.
"Saya tegaskan di sini bahawa laporan berkenaan bukan daripada Harakah, adalah tidak benar sama sekali yang menggunakan nama Harakah termasuk berita-berita kononnya daripada pemimpin tertinggi PAS yang lain," katanya.

