Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat menyatakan kebimbangannya mengenai kemungkinan ahli-ahli majlis dari PKR dan DAP turut dipecat susulan pemecatan exco PKR dan DAP.

Beliau berharap agar exco-exco PAS yang kekal dalam kerajaan Selangor tidak menyokong usul itu seandainya ia dicadangkan kelak.

"Saya minta PAS Selangor agar tidak menyokong usul ini.

"Kita risau perpecahan ini akan merebak lebih parah ke peringkat akar umbi.

"Kita bimbang ramai yang akan tak berpuas hati dengan perkara ini kalau ia menjadi kenyataan," katanya.

Suhaizan (kiri) sebelum itu menyatakan kebimbangan itu menerusi tulisan di laman Facebook-nya.

"Pemuda PAS sangat khuatir suasana ini akan dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Mereka boleh mewujudkan ketegangan di kalangan rakyat Selangor untuk mendesak pembubaran DUN," tulisnya.

Kerajaan Selangor kini ditadbir oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang merupakan seorang MB bebas selepas dipecat oleh PKR.

Beliau dibantu oleh empat orang exco PAS yang memilih untuk kekal dalam pentadbiran negeri selepas enam exco PKR dan DAP dipecat kerana ingin kekal tetapi enggan bekerja sama dengan Khalid.