Kerajaan negeri Selangor melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan mengadakan solat sunat Istisqa’ untuk memohon hujan di kawasan empangan dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, status semasa kapasiti empangan di Selangor sehingga semalam menunjukkan penurunan kapasiti di antara 0.55 peratus hingga 2.82 peratus dan peningkatan kecil 0.13 peratus di Empangan Sungai Selangor.

Menurutnya, kerajaan negeri melalui LUAS, dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) dan TUDM mula melaksanakan operasi pembenihan awan dengan kekerapan dua kali setiap hari menggunakan kaedah larutan garam bermula pada 1 Ogos di kawasan tadahan Empangan Sungai Selangor.

"Berdasarkan rekod, jumlah hujan yang diterima oleh Empangan Sungai Selangor bermula pada 1 Ogos sehingga hari ini adalah 181.65 mm.

"Jumlah ini adalah lebih tinggi berbanding 69.52 mm yang diterima pada bulan Jun dan 73.05 mm pada bulan Julai 2014.

"Ini adalah satu perkembangan positif yang diharap berterusan dan membantu meningkatkan kapasiti takungan empangan." tambahnya dalam satu kenyataan semalam.

Langkah mitigasi yang lain juga, tegasnya, terus dijalankan termasuk pengurangan kadar pelepasan air Empangan Sungai Selangor kepada 700 juta liter sehari (JLH) dan Empangan Sungai Tinggi kepada 500 JLH.

Katanya, pengurangan pelepasan, diikuti hujan hasil operasi pembenihan awan, serta bekalan dari kolam alternatif sehingga 800 JLH pada waktu ini dijangka dapat membantu memanjangkan hayat takungan empangan serta membekalkan air mentah sehingga perubahan Monson Timur Laut pada bulan Oktober dan membawa kadar hujan yang tinggi.

Selain itu, katanya, Isnin lepas petugas di kolam alternatif telah menerima laporan sabotaj operasi pengepaman.

"Bagaimanapun, hasil pemantauan mendapati keadaan semua pam adalah terkawal dan berjalan seperti biasa. dengan bantuan pihak polis dan pasukan RELA, keselamatan operasi pengepaman air kolam alternatif telah ditingkatkan.

"Sekali lagi kerajaan negeri memohon semua pihak untuk memberikan kerjasama dan tidak cuba untuk sabotaj ataupun menganggu operasi dan usaha menangani isu air ini," tambahnya.