Bekas exco Selangor Datuk Teng Chang Khim, memulangkan kenderaan rasminya hari ini.

Kereta itu dipulangkan Teng melalui pemandunya kira-kira pukul 9.30 pagi ini, walaupun belum ada sebarang arahan dikeluarkan daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan berhubung perkara tersebut.

Teng ketika ditemui tadi menjelaskan beliau telah memulangkan kereta dan akan mula mengosongkan pejabatnya hari ini.

"Saya perlu mula mengemas pejabat saya hari ini... pekerja (saya) juga akan diberi taklimat," kata beliau di lobi bangunan SUK Shah Alam.

Sementara itu, Teng berkata Khalid sepatutnya memanggil sidang DUN khas bagi memberi peluang kepada ADUN yang tidak berpuas hati dengan Khalid.

Beliau berkata adalah "tidak bermaruah" sekiranya Khalid menunggu sehingga November untuk sidang DUN Selangor.

"Apa yang dibuatnya adalah tidak secara hormat. Menurut sistem Westminster atau Parlimen Komanwel, perkara paling bermaruah ialah untuk memanggil sidang khas.

"Tiada sebab sah dia kena tunggu sehingga November," kata beliau.

Teng dan empat lagi Exco daripada DAP dan PKR dipecat serta-merta Selasa lepas ekoran tidak menyokong Abdul Khalid kekal sebagai menteri besar.

Selain Teng, mereka yang dipecat ialah Dr Daroyah Alwi, Elizabeth Wong daripada PKR dan V Ganabatirau serta Ean Hian Wah daripada DAP.