Polis hari ini menasihati beberapa individu supaya tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung bantahan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar awal bulan ini, berikutan pelaksanaan kadar tol baru.

    

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata pihaknya ada mengesan beberapa individu yang dipercayai penganjur bantahan itu, bagaimanapun mereka dipercayai sudah menghilangkan diri.

    

"Setakat ini, polis sudah merakamkan 53 keterangan daripada pelbagai individu bagi membantu siasatan kes ini. Sehubungan itu, kita (polis) menasihatkan mereka supaya tampil membantu polis," katanya kepada pemberita selepas majlis penghargaan Op Selamat 5, hari ini.

    

Mohd Mokhtar berkata kertas siasatan kes itu akan dilengkapkan segera untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan polis sekali lagi menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan serta tidak bertindak sesuka hati termasuk menghalang lalu lintas.

    

Dalam kejadian 1 Ogos lepas, 200 pemandu bas kilang dikatakan enggan memasuki Singapura berikutan pelaksanaan kadar tol baru itu yang menyebabkan laluan trafik sesak di CIQ mulai 4 pagi dan berakhir empat jam kemudian.

Tindakan itu juga menyebabkan ribuan pekerja terpaksa berjalan kaki menyeberang Tambak Johor dan ekoran itu, polis mengeluarkan 100 saman kepada pemandu bas kilang yang menghalang lalu lintas di CIQ kerana meletakkan kenderaan di bahu jalan utama.

    

Dalam perkembangan lain, Mohd Mokhtar berkata pihaknya kini sedang melengkapkan semula kertas siasatan berhubung kes pembunuhan model sambilan warga Estonia di Mersing, awal bulan lepas.

    

Beliau berkata pihaknya sudah mengemukakan kertas siasatan kes itu kepada Peguam Negara, namun, ia dikembalikan semula bagi tujuan mendapatkan beberapa keterangan lain dalam melengkapkan kertas siasatan berkenaan.

    

Model tersebut Regina Soosalu, 30, tiba di Pulau Rawa dekat Mersing pada 1 Julai lepas sebelum ditemui lemas pada hari yang sama, yang pada mulanya dipercayai mati akibat lemas.

    

Ekoran itu, polis menahan beberapa individu bagi membantu siasatan dan mereka sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

    

Mayat model itu sudah diserah kepada keluarganya pada 24 Julai lepas melalui wakil khas Republik Estonia di negara ini untuk dikebumikan.

    

- Bernama