Bekas Exco Datuk Teng Chang Kim mendakwa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim cuba mengekalkan kuasa sehingga November ini sebelum membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Beliau berkata satu "sumber yang amat dipercayai" memberitahu beliau bahawa Khalid telahpun berbincang dengan empat orang Exco PAS untuk kekal sehingga sidang DUN wajib tiga bulan lagi.

"Saya nak bagi amaran kepada Tan Sri Khalid untuk tidak menghancurkan kerajaan kerana beliau berniat untuk kekal sehingga November ini.

"Sudah sampai masanya beliau letak jawatan kerana terbukti kehilangan sokongan majoriti," kata Teng dalam sidang media di Shah Alam hari ini.

Dengan nada sinis beliau berkata mungkin kelengahan itu disebabkan ada yang sudah selesa dengan kelebihan selama ini.

"Ada orang mungkin nak duduk tempat lain tu tak biasa. Sekarang dah biasa ada hulubalang mengiringi, nanti sudah tak ada," katanya.

Beliau hairan mengapa Khalid tidak menyatakan niat beliau yang sebenar hingga kini.

Teng mencabar Khalid untuk mengumumkan langkahnya itu kepada semua pihak.

"Jika dia nak bubar DUN mengapa perlu tunggu sehingga November?

"Sama ada dia hendak memanggil sidang DUN tergempar, bubar DUN atau tunggu hingga November, beliau harus mengumumkannya sekarang," katanya.