Teng, rakan mungkin cadang hadkan kuasa MB
Bekas Exco Selangor Datuk Teng Chang Kim berkata beliau dan rakan Pakatan Rakyat di Selangor mungkin mencadangkan pindaan untuk menghadkan kuasa menteri besar.
Katanya, ini kerana buat masa ini terlalu sedikit yang dapat dilakukan untuk menurunkan Tan Sri Khalid Ibrahim walaupun telah kehilangan sokongan majoriti ADUN.
"Biar kami selesaikan isu sekarang dahulu.
"Selepas itu kita patut mula memikirkan untuk membuat pindaan agar tidak tersekat dengan situasi hanya memberikan seorang individu kuasa penuh," kata beliau dalam sidang media di lobi Bangunan SUK hari ini.
Teng yang juga pernah menjadi Speaker DUN pada penggal pertama pemerintahan Pakatan Rakyat pada 2008 berkata, kuasa untuk memanggil sidang DUN tergempar hanya ada pada Khalid dan bukannya speaker.
Beliau bagaimanapun mendesak Khalid meletakkan jawatan kerana percaya ADUN Pelabuhan Klang itu masih dapat menebus dirinya di mata Pakatan Rakyat.
"Saya nak kata kepada Khalid, bertaubatlah, bertaubatlah.
"Jika beliau teruskan selepas ini, beliau sudah tidak boleh diselamatkan," kata beliau.
Teng yang juga ADUN Sungai Pinang turut melahirkan rasa kesal dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Khusrin Munawi yang memberikan kenyataan seolah-olah Exco yang dipecat tidak mahu keluar dari pejabat mereka.
Kenyataan itu melaporkan Khusrin menegur Exco untuk tidak mengambil masa terlalu lama untuk memgemas pejabat masing-masing.
Beliau berkata beliau telahpun memulangkan kereta rasmi beliau pagi ini dan mula mengosongkan pejabat beliau.
"Pagi ini pejabat saya terima surat dari Setiausaha Kerajaan Negeri mengarahkan untuk kosongkan pejabat dalam tempoh seminggu.
Beliau juga amat kesal dengan kenyataan SUK dalam sebuah akhbar hari ini "seolah kami tak mahu berhenti".

