Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Karangan ini saya tulis pada pagi ulang tahun ke-57 Kemerdekaan Malaysia (1957-2014). Saya bersyukur kerana dapat menikmati kemerdekaan tanah air ini. Untuk enam tahun, bermula dari detik kelahiran, saya hidup dan bernafas sebagai anak tanah jajahan Inggeris.

Dua hari lepas pada 29 Ogos 2014 saya disiasat oleh polis di IbuPejabat Polis Shah Alam, Selangor di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 (Akta Nombor 15). Saya bersyukur kerana saya belum dituduh di Mahkamah dan dibebaskan pada petang Jumaat tersebut dengan dijamin oleh seorang sahabat. Jika tidak, saya akan terkurung pada hari kemerdekaan ini di lokap polis Shah Alam memandangkan cuti umum panjang dan mahkamah hanya akan bersidang di Selangor pada Selasa 2 September.

Pada tahun hadapan 2015 bersempena ulang tahun Kemerdekaan ke 58, saya berharap undang-undang zalim Akta Hasutan 1948 ini dimansuhkan. Bukan dipinda-pinda tetapi dimansuhkan sama sekali. Akta Hasutan ini tidak sesuai lagi dengan Malaysia yang ingin bergerak ke hadapan di pentas global sebagai sebuah negara moden, demokratik dan menjunjung prinsip kebebasan serta keadilan seperti yang disuarakan di dalam Perisytiharan Kemerdekaan Tahun 1957 oleh perdana menteri kita yang pertama Tunku Abdul Rahman.

Banyak sebab mengapa Akta Hasutan 1948 ini perlu dihapuskan. Saya bermula dengan sebab yang pertama. Ia adalah kerana Akta ini bukan digubal oleh Malaysia yang merdeka di Parlimen Malaysia  oleh kerana tuntutan rakyat Malaysia. Tidak sama sekali. Akta Hasutan tersebut telah digubal dan diluluskan sebagai undang-undang oleh penjajah Inggeris di Parlimen Inggeris sembilan tahun sebelum Malaysia (Malaya) merdeka.

Akta Hasutan 1948 tersebut berkuatkuasa di bumi Malaysia merdeka sampai kini sebagai satu warisan tinggalan penjajahan Inggeris, walaupun telah lebih setengah kurun tanah air kita bebas dari belenggu penjajahan.

Persoalan pertama dari perspektif sejarah mengapa penjajah Inggeris menggubal, meluluskan dan menguatkuasakan Akta Hasutan 1948 ke atas tanah jajahannya pada waktu itu bernama Malaya?

Kebimbangan British

Kita lihat tahun 1948 adalah satu era di mana keruntuhan empayar Inggeris bermula selepas Perang Dunia Kedua berakhir. Indonesia merdeka dengaan revolusi pada tahun 1945 dan menjadikaan negara kepulauan Melayu dengan penduduk majoriti beragama Islam itu sebuah negara republik.

Revolusi Kemerdekaan Republik Indonesia berjalan seiring dengan revolusi sosial yang menyaksikan tumbang dan tersingkirnya institusi raja. Indonesia mengisytiharkan merdeka dan penjajah Belanda tidak berupaya untuk menjajah kembali dalam apa bentuk pun. Inggeris melihat dan belajar dari apa yang berlaku di Indonesia.

Pada tahun 1948 tanah jajahan Inggeris yang terbesar di benua India tidak dapat lagi Inggeris pertahankan. India dan Paksitan sama-sama merdeka serentak dari Inggeris dan masing-masing  mengisytiharkaan negara masing sebagai sebuah republik. Sistem feudal beraja yang terkenal di India satu waktu dulu pupus bersama munculnya negara India yang merdeka dan negara Islam Pakistan yang merdeka.

Kembali di Malaya pada waktu itu. Pada tahun 1947 sebuah pertubuhan politik Melayu yang anti-penjajah bernama Angkatan Pemuda Insaf (API) yang dipimpin oleh Ahmad Boestamam telah mengeluarkan satu perisytiharan politik secara bertulis dalam sebuah buku yang bernama Testamen API yang mengisytiharkan cogan kata “Merdeka Dengan Darah!”. Ini amat membimbangkan Inggeris. Pertubuhan API diharamkan selepas itu pada tahun 1947 juga.

Inggeris takut rakyat Malaya khususnya orang-orang Melayu akan terikut sentimen rakyat Indonesia yang melancarkan revolusi kemerdekaan dan revolusi sosial menumbangkan raja-raja bagi menubuhkan sebuah kerajaan republik di Malaya.

Kebangkitan gerakan kemerdekaan

Pada tahun-tahun sekitar 1946 -1948 kesedaran politik rakyat Malaya terhadap perjuangan untuk merdeka dari penjajahan Inggeris begitu meluas terutama di kalangan orang-orang Melayu. Inggeris amat menyedari bahawa kuasa penjajahan Inggeris di Malaya pada waktu itu amat bergantung dengan kerjasama sembilan orang raja-raja Melayu.

Raja-raja Melayu tersebut pun sama menyedari bahawa nasib mereka juga bergantung dengan kerjasama serta naungan penjajah Inggeris ke atas mereka. Banyak raja-raja Melayu yang bertakhta pada waktu itu diangkat ke takhta atas kerjasama Inggeris seperti apa yang berlaku antaranya di Perak, Terengganu dan Johor terutamanya.

Di Johor, raja yang berketurunan dari Kesultanan Melayu Melaka digulingkan oleh Inggeris dan penjajah itu kemudian mengangkat orang biasa dan pendatang yang bergelar Temenggong menjadi Sultan di Johor. Raja baru tajaan Inggeris itu, diberi gelaran Sir oleh Inggeris dan dipanggil dengan panggilan hebat sebagai “Maharaja”; dan keturunan itu berkuasa hingga sekarang.

Inggeris amat bimbang apabila pada kongres khas pertubuhan politik dan sosial Melayu pada tahun 1946 di Bangunan Kelab Sulaiman Kampung Baru Kuala Lumpur diadakan bagi menentang gagasan Malayan Union tajaan Inggeris.

Pertubuhan seperti API, Pertubuhan kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Seberkas dari Kedah dan Pertubuhan Melayu Johor pimpinan Datuk Onn Jaafar, antaranya telah bergabung dan menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PERKEMBAR atau Umno dalam bahasa Inggeris) pada tahun 1946 itu.

Sikap golongan bangsawan

Tetapi gabungan ini tidak kekal lama. Datuk Onn Jaafar tidak berminat pada waktu itu untuk memperjuangkan kemerdekaan Malaya. Beliau hanya berminat untuk memperjuangkan institusi raja-raja Melayu dengan slogan “Hidup Melayu!”. Manakala API dan PKMM tegas dengan cita-cita memperjuangkan kemerdekaan Malaya dengan slogan mereka “Merdeka!” oleh PKMM dan “Merdeka Dengan Darah!” oleh API.

Dalam senario seperti ini di Malaya pada waktu itu maka Akta Hasutan 1948 dikuatkuasakan dengan Seksyen 4 menyenaraikan kesalahan yang dianggap menghasut kerana menghina raja-

raja.

Akta Hasutan 1948 tersebut digunakan oleh Inggeris supaya khususnya orang-orang Melayu tidak menentang raja-raja mereka waktu itu yang tidak berminat dengan perjuangan rakyat biasa untuk merdeka. Raja-raja dan golongan bangsawan leka dengan dibuai kemewahan dan kesenangan oleh penjajah Inggeris sehingga mereka sendiri mencemuh serta memperlekehkan perjuangan rakyat untuk merdeka.

Sultan Johor sebagai contoh, pada waktu itu sanggup menyatakan sesuatu yang mengguris hati rakyat hinga kini dengan kata-kata : “Nak buat jarum pun tak tahu; Ada hati hendak merdeka?”.

Sikap raja-raja Melayu seperti ini amat disenangi oleh Inggeris. Catatan rekod menunjukkan Johor di bawah Sultan yang pro-Inggeris itu merupakan negeri yang terakhir menyertai Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) sebelum merdeka.

Inggeris menggunakan Akta Hasutan 1948 untuk menangkap pemimpin-pemimpin Melayu yang tulen anti-penjajah dan menakut-nakutkan pemimpin-pemimpin Umno waktu itu supaya perjuangaan mereka berkisar kepada “Hidup Melayu!” sahaja, bukannya perjuangan untuk menghalau Inggeris dari bumi Malaya waktu itu seperti perjuangan API dan PKMM.

Tindakan keras

Pada tahun 1948 juga penjajah Inggeris mengsiytiharkaan darurat. Lebih seribu orang pemimpin-pemimpin politik, dan kesatuan sekerja yang menentang Inggeris ditangkap, termasuk antaranya Ahmad Boestamam pemimpin API, Dr Burhanuddin Al-Helmy pemimpin PKMM dan Dr Ishak Hj Muhammad (Pak Sako).

Parti Komunis Malaya (PKM) juga diharamkan dan ramai pemimpin serta kader-kader PKM ditahan. Hal yang sama sedang berlaku sekarang. Selepas 57 tahun merdeka kerajaan Persekutuan yang dikuasai oleh Umno/BN dengan mandat undi minoriti 47% sahaja kini bersandar tampuk kekuasaannya pada sokongan 10 orang raja-raja Melayu termasuk (Yang di-Pertuan Agong) dan Akta Hasutan 1948.

Begitu juga 10 orang raja-raja Melayu yang menyedari di dunia moden ini di mana di seluruh dunia hanya tinggal 25 orang raja-raja sahaja dan 10 orang daripadanya berada di Malaysia, maka mereka juga bersandar kepada sokongan Umno/BN untuk terus duduk di singgahsana masing-masing.

Pendek kata antara Umno/BN dan institusi feudal raja-raja Melayu di Malaysia kini mereka saling sandar menyandar, sokong-menyokong untuk kelangsungan hidup masing-masing di tengah-tengah kebangkitan rakyat khususnya generasi muda yang memetik kata-kata hikmat di dalam Perisytiharan Kemerdekaan 1957 dengan laungan “Merdeka” sebanyak tujuh kali itu bahawa Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya (Malaysia) merdeka adalah untuk memenuhi impian dan cita-cita bagi mewujudkan sebuah negara yang adil dan bebas.

Kesimpulannya sebuah negara Malaysia yang adil dan bebas adalah Malaysia yang hidup bersama rakyatnya tanpa Akta Hasutan 1948 yang lapuk dan zalim.


HASSAN KARIM adalah naib pengerusi PKR Johor dan kini disiasat polis mengikut Akta Hasutan.

 

Lihat Komen
ADS