Pasukan Peronda Sukarela (PPS) di bawah kerajaan Pulau Pinang cuba mengambil alih bidang kuasa polis, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Zahid, beliau ada menerima laporan yang PPS cuba melakukan tugas-tugas polis - seperti menahan kereta di jalan raya agar berhenti.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan tambahan dari Mohamad Imran Abdul Hamid (PKR-Lumut) di Dewan Rakyat hari ini.

"Ketua menteri atau menteri besar memang pengerusi majlis keselamatan negeri - itu betul dan itu fakta.

"Tetapi soal pertahanan dan keselamatan itu adalah terletak di bawah kuasa polis negeri, atau panglima divisyen atau panglima briged yang jaga kawasan itu.

"Bukan hak ketua menteri dan menteri besar. Itu Yang Berhormat harus tahu, sebagai bekas pegawai TLDM harus tahu hal itu, jangan kelirukan dewan ini.

"Kita tahu bahawa di dalam negara soal keselamatan dan pertahanan adalah bidang kuasa yang dipegang oleh kerajaan persekutuan.

"Jadi jika ada mana-mana pihak kerajaan negeri mahu mengambil alih kuasa yang dipunyai oleh kerajaan persekutuan, maka ianya adalah di luar undang-undang," kata Ahmad Zahid.

Sementara itu, Bernama melaporkan Zahid berkata PPS bukan hanya tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) malah tidak termasuk di bawah mana-mana akta yang diluluskan Dewan Rakyat.

    

Katanya, walaupun kerajaan negeri sebelum ini telah meluluskan penubuhan PPS namun ia tidak dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang sebagai sebuah enakmen atau undang-undang.

    

Beliau menjelaskan bahawa Skim Rondaan Sukarela (SRS) diwujudkan di bawah Akta Rukun Tetangga 2012 manakala Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) pula ditubuhkan di bawah Akta Pasukan Sukarelawan 2012, dua akta yang diluluskan Dewan Rakyat.

    

"Maka SRS dan Rela tidak perlu didaftarkan dengan ROS kerana ia ditubuhkan di bawah akta yang telah diluluskan," katanya di Dewan Rakyat hari ini ketika menjawab soalan tambahan Ng Wei Aik (DAP-Tanjong) mengapa PPS perlu didaftarkan dengan ROS.

    

Ahmad Zahid berkata perkara itu tertakluk kepada soal perundangan di bawah kuasa kerajaan pusat yang berhubung kait dengan aspek keselamatan serta pertahanan.

    

"PPS mahu bertindak sebagai pasukan keselamatan namun terdapat 11 laporan polis dibuat mengenai PPS berkaitan kes pukul, tampar dan sembur gas pemedih mata kepada orang awam," katanya.