Seorang anggota Dewan Rakyat Barisan Nasional tidak sanggup berdepan dan menerima cabaran berhujah secara terbuka di bangunan itu apabila ditunggu oleh Pengerusi DAP Lim Kit Siang hari ini.

Lim tengahari tadi hadir bagi meminta penjelasan Robert Lau Hoi Chew, wakil rakyat Sibu, yang pernah mendakwa pemimpin DAP itu pernah berjanji untuk membina sebuah "universiti Kristian terbesar" di kawasan itu jika parti pembangkang itu memenangi pilihanraya pada 1983.

"Saya masih ingat Pengerusi DAP Lim Kit Siang, beberapa tahun yang lepas, di Sibu selepas menyaksikan perarakan tahunan Krismas di Sibu, tidak teragak-agak mengambil peluang keemasan untuk menipu pengundi-pengundi Sibu dengan mengatakan 'jika DAP menang kerusi Sibu, DAP akan membina sebuah universiti Kristian terbesar di Sibu'," dakwa Lau dalam satu sidang Dewan Rakyat 25 April lalu.

Kenyataan Lau itu telah menimbulkan sedikit ketegangan antara beliau dengan beberapa wakil DAP. Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam), Teresa Kok (Seputeh) dan Tan Kok Wai (Cheras) bangun sejurus selepas kenyataan itu.

Pertengkaran lisan berlaku antara Chong dan Lau. Wakil rakyat Sibu itu bagaimanapun tidak membenarkan Chong mendapatkan penjelasan.

"Ini bukanlah kali pertama beliau membuat tuduhan yang tidak berasas, (dan) pembohongan di sini, tetapi tidak pernah pun beliau mengulangi tuduhan itu di luar dewan," kata Tan pula.

"Kalau awak seorang jantan, ulangkan (kenyataan itu) di luar (Dewan Rakyat)," cabarnya lagi dan disambut oleh Lau "awak tunggu saya, awak pergi (keluar) dulu dan tunggu saya."

Tan kemudian bangun dan keluar dari dewan, diikuti Chow Kon Yeow (DAP-Tanjong) dan Lim Hock Seng (DAP-Bagan).

Wakil Sibu seterusnya menyifatkan tindakan wakil-wakil DAP keluar dewan itu sebagai "sandiwara".

Dalam satu sidang akhbar yang diadakan di lobi parlimen selepas gagal bersemuka dengan Lau, Lim berkata: "Kenyataan Lau berbau perkauman dan tidak benar sama sekali."

Katanya, kenyataan Lau itu tidak bertanggungjawab dan dianggap telah menyalah guna kuasa Dewan Rakyat. Lim kemudiannya mencabar Lau berdebat dengan beliau di Sibu, Sarawak.

"Lau harus menjelaskan bila, di mana saya telah berucap seperti itu di Sibu," katanya lagi.

Menurut Chong, pada 1983, apabila suatu pihak mengemukakan cadangan untuk membina sebuah universiti Kristian di situ, Pengerusi DAP itu hanya menyokong saranan tersebut tetapi tidak pernah berjanji untuk membina universiti seperti dakwaan Lau.