Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan negeri Datuk Zainal Abidin Osman diminta berjumpa dengan Exco Perancangan Bandar, Desa dan Perumahan Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo untuk menyelesaikan isu permohonan projek perumahan mampu milik di negeri ini.

    

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata segala masalah berkaitan dapat diuruskan setelah bertemu Jagdeep (kiri).

    

"Jumpa Jagdeep dulu dan kalau (Zainal Abidin) masih tidak berpuas hati selepas itu boleh berjumpa saya," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.

    

Lim juga meminta Zainal Abidin untuk menjelaskan istilah rumah mampu milik kerana mendakwa ada rumah yang dijual pada harga RM1.85 juta dan ia tidak menepati maksud rumah mampu milik.

    

"Untuk rumah kos rendah kami boleh luluskan bila-bila masa, tetapi rumah kos sederhana dan komersial macam mana pulak? Kalau dia setuju saya luluskan rumah kos rendah dulu, yang lain bincang kemudian," katanya.

Semalam, Zainal Abidin (kanan) dalam kenyataannya berkata Majlis Tindakan Persekutuan negeri berharap Lim tidak memberi pelbagai alasan untuk melengah-lengahkan kelulusan permohonan Pelan Kebenaran Merancang yang dipohon Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan JKP Sdn Bhd.    

    

Zainal Abidin berkata Lim sengaja menggunakan alasan penempatan setinggan yang hampir selesai bagi tiga projek yang dipohon untuk tidak meluluskan 12 permohonan Pelan Kebenaran Merancang lain yang tidak melibatkan isu setinggan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas alasan diberikan kerajaan negeri dalam surat kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Khamis lepas mengenai alasan permohonan Pelan Kebenaran Merancang bagi 15 projek perumahan, belum diluluskan.

    

Sementara itu dalam perkembangan lain, Lim (kiri) berkata kerajaan negeri telah melantik Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow untuk mengendalikan pemasangan rangkaian jalur lebar.

    

Beliau berkata pemasangan jalur lebar yang terkini dan canggih amat diperlukan di negeri ini dan berharap projek itu akan mendapat kerjasama kerajaan persekutuan.

    

"Jika tidak diatasi ia akan merugikan dan merupakan cabaran kerajaan negeri untuk menarik pelabur dalam industri pengkomputeran khususnya industri perisian," katanya.

    

- Bernama