Penuntut kolej didakwa bunuh kakak kandung
Seorang penuntut kolej swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas tuduhan membunuh kakak kandungnya di rumah mereka di Kota Kemuning minggu lepas.
Toh Wei Jun, 18, didakwa membunuh Toh Wei Teen, 22, di rumah mereka di Taman Kemuning Utama, Seksyen 33 di Shah Alam antara jam 11.12 malam 25 Oktober lepas sehingga 3.30 pagi keesokannya.
Tertuduh, anak bongsu lelaki daripada tiga beradik, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Wei Jun mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Inggeris.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.
Majistret Norshakinah Ahmad Kamarudin menetapkan 1 Disember ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan laporan bedah siasat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip sementara tertuduh diwakili peguam Datuk Arunan Selvaraj.
Sepanjang prosiding, ibu tertuduh dilihat sentiasa menangis sambil ditenteramkan suami dan anggota keluarganya.
Akhbar sebelum ini melaporkan mayat Wei Teen, anak kedua, yang merupakan penuntut Universiti Malaysia Sabah ditemui dalam keadaan lehernya dikelar di depan pintu biliknya.
- Bernama

