MP PKR gesa kerajaan turunkan harga minyak
Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyemak dan menilai semula harga petrol dan diesel berikutan kejatuhan harga bahan api itu di pasaran dunia.
Ini kerana, katanya, kejatuhan harga minyak mentah dunia sekitar USD$105 ke USD$108 setong di antara Mei hingga Ogos tahun ini dan terus jatuh dari USD$105 setong ke USD$85 setong pada awal Oktober dan kekal pada paras itu hingga kini.
Dalam kenyataannya, naib presiden PKR itu turut berkata penganalisa pasaran minyak mentah dunia turut meramalkan harga minyak mentah akan kekal sekitar paras itu bagi tempoh lebih lama hingga tahun 2015.
“Saya telah membuat analisa jumlah subsidi petrol dan diesel yang akan ditanggung kerajaan sekiranya harga minyak mentah kekal pada harga sekitar USD$85 setong sehingga ke tahun 2015.
“Bagi suku terakhir tahun ini, kerajaan akan menjimatkan RM1.45 bilion dalam bentuk subsidi yang tidak perlu dibayar kerana harga minyak mentah yang lebih rendah menyebabkan kos pengeluaran petrol dan diesel juga lebih rendah.
"Jumlah subsidi petrol dan diesel bagi tahun 2015 pula dijangka berjumlah hanya RM9.5 bilion (jika harga minyak mentah kekal pada paras USD$85 setong) iaitu penjimatan sebanyak RM4.2 bilion dari jumlah subsidi bagi tahun 2014 yang dijangkakan berjumlah RM13.7 bilion," katanya.
Sehubungan itu, Rafizi berkata alasan harga minyak perlu dinaikkan kerana bebanan subsidi yang tinggi tidak lagi benar ekoran kejatuhan harga minyak mentah di pasaran dunia.
“Penjimatan sebanyak RM1.45 bilion bagi suku terakhir tahun ini dan RM4.2 bilion yang dijangka bagi tahun 2015 itu perlulah dipulangkan kepada rakyat dan bukannya disimpan sebagai peruntukan untuk dibelanjakan oleh perdana menteri dan menteri-menterinya," katanya.

