Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri akan mendapatkan nasihat pasukan guamannya dalam usaha memohon semakan kehakiman ke atas perisytiharan menteri dalam negeri yang mengharamkan Pasukan Peronda Sukarela (PPS).

Lim berkata, beliau kesal kerana kerajaan negeri hanya mendapat tahu mengenai perkara itu melalui kenyataan media menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, beliau kini masih menunggu jawapan daripada kementerian berhubung perkara itu.

"Adakah kerajaan persekutuan sekarang bertindak melalui kenyataan media?,” soalnya.

Beliau juga mendakwa, Zahid bertindak dengan niat jahat kerana meluluskan penahanan anggota PPS, dan mengisytiharkan badan itu sebagai pertubuhan haram.

“Ahmad Zahid juga tiada rasa hormat ke atas keadilan asasi dan bertindakn ke atas PPS tanpa sebarang komunikasi di antara kementerian dalam negeri dan kerajaan Pulau Pinang, untuk membolehkan kami mempertahankan diri.

"Perisytiharan sepihak oleh menteri ini jelas sekali mengetepikan rukun keadilan asasi, yakni seseorang itu tidak boleh dihukum tanpa pembelaan.

“Tuduhan tidak berasas ke atas PPS adalah penyalahgunaan kuasa yang melampau oleh menteri,” katanya lagi.

Lim berkata dengan perisytiharan sepihak oleh menteri tersebut, keputusan berkenaan boleh dicabar di mahkamah.

[Baca berita penuh]