'Anak penerima BR1M dapat pinjaman penuh'
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjelaskan ibu bapa yang menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) melayakkan anaknya mendapat bantuan penuh pendidikan itu.
“Anak penerima BR1M, akan mendapat pinjaman penuh. Pelajar yang ibu bapa mereka berpendapatan tidak lebih RM8,000 akan menerima pembiayaan 75 peratus.
"Sementara bagi ibu bapa berpendapatan lebih RM8,000, anak mereka hanya layak menerima 50 peratus pembiayaan,” kata Pengerusinya Datuk Shamsul Anuar Nasarah dalam sidang media petang ini.
Dengan penggunaan data BR1M sebagai kaedah tapisan terbaru, Shamsul Anuar yang juga MP Lenggong berkata, ini membolehkan kadar pembiayaan pinjaman dapat ditentukan dengan lebih tepat dan ketat.
"Penggunaan data BR1M sebagai penentuan jumlah pembiayaan adalah berdasarkan ketepatan data BR1M yang lebih tinggi kerana sudah melalui proses semakan dengan beberapa agensi kerajaan lain.
"Berbanding kaedah terdahulu di mana jumlah pembiayaan ditentukan berasaskan pendapatan ibu bapa dan penjaga, kaedah terbaru ini lebih ketat,” katanya,
Ditanya mengenai kelebihan ibu bapa mendaftarkan diri dengan BR1M, naib ketua Umno Lenggong rakyat akan mendapat dua manfaat dari kerajaan.
“Memang kena daftar BR1M dulu, kalau daftar BR1M, dapat BR1M dan juga PTPTN. Jadi BR1M pun dapat, PTPTN juga dapat,” katanya dengan nada berseloroh.

