Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nazri: Isu Vivekananda Ashram mungkin ke mahkamah
Diterbitkan:  Nov 6, 2014 8:12 AM
Dikemaskini: 1:25 AM

Kerajaan tidak menolak kemungkinan membawa isu bangunan Vivekananda Ashram di Brickfields ke mahkamah sekiranya usaha dan perbincangan untuk mewartakannya sebagai tapak warisan negara tidak berhasil.

    

Menyatakan demikian, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, Jabatan Warisan Negara sekali lagi telah mengemukakan tawaran kepada Lembaga Vivekananda Ashram untuk pewartaan itu.

Tawaran kali pertama pada 13 November 2008 ditolak.

    

"Kami sedang menunggu maklum balas daripada pihak lembaga... memandangkan ia (bangunan itu) telah wujud sejak lebih daripada 100 tahun.

"Kami juga akan bertemu dengan Menteri Wilayah Persekutuan (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) untuk berbincang bagaimana memastikan tapak itu dikekalkan.

    

"Tidak membenarkan mana-mana pemaju untuk melakukan sebarang perobohan ke atas bangunan bersejarah itu," katanya.

Nazri bercakap kepada pemberita selepas melawat tapak bangunan yang berusia 110 tahun itu semalam.

Menurut laporan media, Lembaga Pemegang Amanah Vivekananda Ashram merancang membangunkan semula tanah bangunan itu dengan membina menara apartmen 23 tingkat.

    

Ini telah mencetuskan kontroversi, termasuk bantahan daripada masyarakat India di sekitar kawasan itu.  

    

Lembaga itu mempertahankan tindakannya dengan alasan untuk membantu menyediakan dana bagi sekolah dan badan amal di bawah jagaannya.

Bagi kaum India, Swami Vivekananda Ashram adalah bukti kehadiran kaum India di negara ini sejak sekian lama.

    

Sekolah pertama yang dibina oleh Ashram pada 1914 menunjukkan kaum India telah lama menetap di negara ini - sejak sebelum Merdeka lagi.

Sementara itu, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam meminta Lembaga Vivekananda Ashram tidak meneruskan rancangan mereka untuk membina sebuah apartmen 23 tingkat di tapak bangunan Vivekananda Ashram di Brickfields.

Beliau berkata mereka (lembaga itu) perlu menghormati masyarakat India dan sejarah yang terlindung di sebalik bangunan ashram berusia lebih 100 tahun itu.

    

Katanya lembaga itu harus sedar bahawa masyarakat India mempunyai hak untuk menghalang bangunan sejarah yang mempunyai patung Swami Vivekananda yang diperbuat daripada gangsa.

    

"Mereka (lembaga) harus melihat sejarah bangunan yang berusia 110 tahun itu yang boleh dijadikan sebagai tapak warisan negara," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Transformasi Pendidikan, Wajah Baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Wisma Tun Sambanthan di ibunegara semalam.

Turut hadir, Duta Khas Bagi Infrastruktur ke India dan Asia Selatan, Datuk Seri S. Samy Vellu, Timbalan Menteri Pendidikan Kedua P. Kamalanathan, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan dan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Tan Sri M.Kayveas.

    

Dr Subramaniam, yang juga menteri kesihatan, berharap lembaga berkenaan tidak akan meneruskan rancangan membangunkan semula tanah bangunan itu selepas mencetuskan pelbagai kontroversi dan tentangan daripada pelbagai pihak.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz baru-baru ini telah mengemukakan tawaran kepada Lembaga Vivekananda Ashram untuk mewartakannya sebagai tapak warisan negara.

    

Tawaran sama pernah dibuat pada 13 November 2008, namun ditolak lembaga itu.    

Bagi kaum India, Swami Vivekananda Ashram adalah bukti wujudnya kehadiran kaum India di negara ini malah sekolah pertama yang dibina oleh Ashrampada 1914 menunjukkan kaum India telah lama menetap di negara ini sejak sebelum Merdeka.

    

Sementara itu, Kamalanathan berkata kementeriannya akan memberikan sokongan serta bantuan supaya Program Transformasi Pendidikan, Wajah Baru SJKT di bawah Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah-Sekolah Tamil mencapai motif sebenarnya.

    

"Motif utama program ini adalah untuk meningkatkan keyakinan dan kesedaran ibu bapa agar menghantar anak-anak mereka ke sekolah Tamil dan sebagai permulaan pencapaian cemerlang murid-murid SJKT akan didedahkan kepada masyarakat India," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS