Mangsa banjir Lembah Bertam dilarang pulang
Mangsa banjir di Lembah Bertam di sini masih tidak dibenarkan pulang ke rumah ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu, kata Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Wan Zahari Wan Busu.
Beliau berkata paras air di Empangan Sultan Abu Bakar tidak stabil berikutan hujan lebat petang tadi menyebabkan paras air meningkat.
"Hujan lebat kira-kira pukul 1 tengah hari juga menyebabkan berlakunya banjir kali kedua di Kampung Baru.
"Hujan reda pukul 2.30 petang dan air surut dalam masa 10 minit, bagaimanapun penduduk tidak dibenarkan pulang ke rumah kerana khuatiri akan berlaku lagi hujan lebat di kawasan itu," katanya ketika dihubungi Bernama .
Katanya paras air banjir hari ini lebih tinggi berbanding kejadian pada Rabu lepas.
Wan Zahari berkata pusat kawalan operasi dan bencana di Lembah Bertam terus dibuka untuk memantau keadaan cuaca dan pelepasan air empangan mungkin dilakukan sekiranya hujan lebat.
Pada petang Rabu lepas, penduduk di tebing Sungai Bertam diarahkan berpindah apabila air Empangan Sultan Abu Bakar dilepaskan secara berperingkat ekoran parasnya yang semakin meningkat akibat hujan lebat.
Sementara itu, Pekan Ringlet juga dilanda banjir kilat apabila air di sungai berhampiran naik melebihi paras tebing ekoran hujan lebat selama sejam.
Dalam kejadian itu, lima mangsa turut terkorban manakala lima lagi cedera.
Ia turut menjejaskan 203 penduduk yang terdiri daripada 47 keluarga di Kampung Baru dan Lembah Bertam yang terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Dewan Orang Ramai Ringlet.
- Bernama

