Belenggu igauan ngeri pelarian Palestin
Malaysia antara destinasi bagi pelarian Palestin mangsa perang bagi mencari perlindungan dari mortar dan bedilan peluru.
“Rumah” kita menjadi pilihan mereka sebagai tempat berteduh daripada hujan bom dan darah.
Bagaimanapun, walaupun jauh daripada kampung halaman, igauan ngeri mereka tidak mudah berlalu.
Seperti contoh, seorang pelarian yang hanya mahu dikenali sebagai Abu Bakar, 15, sentiasa menutup kedua belah telinganya dan berlari ke tepi apabila berada di jalan raya.
Walaupun sudah dua tahun menjadi pelarian di Malaysia, remaja itu masih tidak dapat melupakan bunyi bising seakan-akan hiruk pikuk perang di tanah tumpah darahnya.
Abu Bakar antara 60 keluarga Palestin yang berdaftar sebagai pelarian dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta mendapat perlindungan sementara di Malaysia.
Kerja 'curi-curi'
Malah, kepayahan mereka seakan tidak pernah habis apabila kerajaan Malaysia dikatakan tidak mengiktiraf pelarian di negara ini.
Kumpulan itu masuk ke Malaysia menggunakan kad PBB dan menetap sementara sehingga dipindahkan ke negara lain yang sudi menerima mereka.
Pelarian itu menyewa rumah secara beramai-ramai dan terpaksa 'curi-cur'i menjual barang-barang, seperti jam tangan, telefon bimbit dan beg di Bukit Bintang.
Ada juga di antara mereka yang menjadi tukang masak kedai makan Arab sekitar Kuala Lumpur bagi meneruskan kehidupan.
Selain menyewa sendiri, mereka juga mendapatkan perlindungan di sebuah pusat perlindungan tidak berpapan tanda – bagi tujuan keselamatan daripada kemungkinan gangguan daripada negara asal – kelolaan NGO Sahabat Support Centre (SSC).
Pusat perlindungan di Kuala Lumpur itu memberi perlindungan kepada pelarian timur tengah yang rata-ratanya daripada Palestin.
Ruangnya di tingkat atas kedai makan itu mempunyai lima bilik dan cukup sempit tetapi memuatkan 70 penghuni dalam satu-satu masa.
Kerinduan yang meronta
Tiga dari bilik tersebut dijadikan kelas pengajian dan penjagaan kanak-kanak sehingga berumur 17 tahun.
Manakala terdapat juga bilik buat golongan wanita belajar menjahit dan sebuah klinik kecil.
Para pengajar yang mengajar anak-anak Palestin itu adalah daripada kalangan profesional Palestin, juga menjadi pelarian perang.
Meskipun hidup dalam kemurungan, ia tidak selalu tergambar pada wajah mereka apabila sama-sama bersembang tanpa rasa takut.
Namun igauan akan kembali menerpa ketika mereka melangkah keluar dari pusat perlindungan itu.
Kerinduan pada negara asal juga tergambar di wajah apabila karya anak-anak pelarian Palestin itu berkisar mengenai kehidupan dahulu, termasuk rumah yang dibom Israel.
Jauh daripada kampung halaman, sejauh mana kerinduan pada “rumah” bergolak mereka tetap meronta?

