Kempen boikot tv ‘rancangan tergendala’ anjuran Gabungan 11 persatuan artis dan industri kreatif, akan berlangsung di Dataran Zoo Negara, malam esok yang bakal dihadiri lebih 1,000 orang.
Penganjur kempen itu yang juga dikenali Switch Off ’14 itu turut memaklumkan kehadiran itu berdasarkan maklum balas yang mereka terima melalui promosi di laman sosial Facebook dan Twitter.
Program itu sepanjang tiga jam bermula jam 8 malam itu akan diserikan pelbagai acara termasuk deklamasi sajak, sketsa kisah hidup penggiat industri kreatif, persembahan nyanyian selain ucapan presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysian (Gafim).
Ketika dihubungi Malaysiakini , Pengerusi gabungan Gafim, Jurey Latiff berkata kempen tersebut tiada kaitan dengan demonstari haram seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
“Kita tiada melakukan apa-apa yang salah, kita hanya berkumpul beramai-ramai bersama penggiat industri yang lain pada malam itu sebagai sokongan kepada kempen ini.
“Kita tidak mahu menentang sesiapa tapi hanya mahu mengadakan satu perjumpaan secara santai tetapi ada juga pihak yang bermain dengan isu negatif terhadap kempen ini,” katanya.
Sepanjang kempen itu juga, Jurey menyeru orang ramai yang berada rumah diminta menutup televisyen selama tiga jam di samping menjimatkan eletrik dan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.
Beliau turut menyifatkan kempen itu sebagai program yang dinanti-nantikan oleh penggiat industri seni kerana ia sebagai menunjukkan solidariti dalam menangani sesuatu isu berkaitan industri itu.
“Malam 11.11 ini adalah malam untuk kita berhimpun bersama-sama. Saya rasa inilah satu-satunya program yang dinantikan oleh orang industri supaya kita dapat menunjukan kita dapat bersatu dalam menghadapi sesuatu isu.
“Orang ramai juga dijemput hadir dan jangan berasa takut atau bimbang mengenai kempen ini kerana kami sudah mendapat kelulusan pihak berkuasa.
"Dan tiada masalah, program ini bukan program demonstari atau sebagainya,” katanya yang juga presiden Gafim .
Antara selebriti dijangka membuat persembahan pada malam esok ialah kumpulan Kopratasa, Datuk Tarmimi Siregar, Fauziah Nawi, Zulfekar, Min Yasmin, Keena (Mentor), Salwa Razak dan Ebi Saifol.
NADIA OTHMAN wartawan pelatih di Malaysiakini .
