MP Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menggesa agar audit ke atas sambutan Hari Belia di Putrajaya yang didakwanya menelan belanja RM93 juta dalam tempoh empat tahun ia diadakan didedah kepada umum.

Menurut Mahfuz, jumlah kos tahunan bagi acara itu meningkat meliputi belanja sebanyak RM16 juta pada 2011 sehinggalah yang terakhir sebanyak RM30 juta pada 2014.

"Saya tak nampak apa masalahnya di sini. Kementerian dan agensi berkenaan akan jawab setiap audit dan sekarang kenapa nota ini tak boleh didedah kepada umum?" tanya Mahfuz pada sidang media di lobi Parlimen.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim mengakui bahawa audit dilakukan ke atas keseluruhan pengurusan acara tahunan itu yang dilanda kontroversi.

Bagaimanapun Shahidan yang juga MP Arau berkata dapatan audit ke atas program itu tidak perlu didedahkan kerana kementerian berkenaan sudah mengambil langkah sewajarnya susulan audit itu.

[Baca berita asal]