Satu NGO Pulau Pinang, mendakwa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mengeluarkan amaran kepada pengusaha restoran agar menggantikan tukang masak dari golongan pendatang kepada warga tempatan.

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao mendakwa, beliau menerima aduan daripada enam restoran berhubung amaran tersebut.

Beliau juga mendakwa, keputusan Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengharamkan pekerja golongan pendatang akan menimbulkan kemarahan dari pelbagai kumpulan kaum di Pulau Pinang.

"Ini adalah satu langkah politik, yang hampir pada isu kaum. Jika anda lihat selepas pilihan raya umum ke-13, sokongan ke atas Lim dari masyarakat India dan India Muslim menurun dan akan terus menurun,” katanya.

Bercakap dalam sidang media di Petaling Jaya, Ramesh berkata beliau ingin memberi petunjuk kepada warga Pulau Pinang bahawa dasar ke atas pekerja pendatang asing akan melumpuhkan industri makanan masyarakat India dan India Muslim.

Beliau juga mendakwa, golongan pemilik restoran ini akan mula mengambil langkah mengejut jika gangguan seperti itu tidak dihentikan.

“Mereka akan menghantar memorandum kepada kerajaan negeri Pulau Pinang minggu depan untuk memohon agar pengharaman itu dimansuhkan,” kata Ramesh.

"Apa salahnya pendatang belajar selok belok makanan kita? Tidakkan baik jika pendatang ini pulang ke negara asal dan mempromosi makanan kita di sana?,” soalnya.

Sekatan ke atas pekerja dari golongan pendatang asing itu berkuatkuasa ke atas pengusaha gerai penjaja dan makanan dalam pusat membeli belah.

[Baca berita penuh]