Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata parti dan presidennya tidak perlu rasa bersalah dengan tindakan kerajaan dalam mengurus bencana yang menimpa MH17 dan MH370.

Beliau turut memuji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menurutnya bertindak dengan tegas dan tidak mengikut telunjuk kuasa besar dunia.

“Kalau Umno teruk sangat tidak mungkin negara kita boleh berhadapan dengan masalah MH17 dan MH370.

“Kalau bukan Najib yang melakukannya tidak mungkin 43 jasad warganegara Malaysia dapat dikenal pasti dan mungkin mereka masih bergelimpangan di tanah Ukraine," katanya.

Menurutnya, Najib perlu dihormati kerana turut mendapat pengiktirafan serantau dalam memimpin Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).

“Presiden kita perlu dihormati kerana tidak tunduk pada Presiden (Rusia, Vladimir) Putin dan (Presiden Amerika Syarikat, Barack) Obama dalam menyelesaikan masalah MH17.

“Kalau Umno dan pemimpin kita tidak dihormati tak mungkin proses kepimpinan Asean beralih kepada Malaysia,” katanya.

Malah, beliau turut memuji kepimpinan Umno dengan menyatakan kehebatannya dalam mengendalikan media dari luar negara berbanding Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar.

“Hebat sangat kah Mahfuz kalau boleh berdepan dengan CNN dan Aljazeera berbanding kami,” ujarnya.

“Kita tidak kata kita ini hebat tetapi Umno tidaklah teruk sangat,” katanya dalam ucapan pembukaan sati persidangan meja bulat Umno hari ini.

Persidangan itu bagi membincangkan usul tertinggi sempena Perhimpunan Agung Umno di Petaling Jaya.