Gerakan menyelar anggota Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi kerana mendesak diadakan sebuah ketetapan supaya Gerakan dan MCA hanya bertanding di kawasan majoriti Cina dalam pilihan raya.

“Kita patut bekerja ke arah mendapatkan sokongan semua masyarakat dan tidak mengasingkan diri.

"Gerakan sebuah parti di Malaysia yang mewakili semua kaum.

“Pandangan cetek sebegini memecah-belah dan tidak diperlukan, ia mentaliti yang perlu dihapuskan segera, supaya BN dapat hasil lebih baik dalam pilihan raya umum akan datang,” kata presidennya Mah Siew Keong.

Puad semalam dilaporkan berkata, kesemua Umno negeri didesak membuat ketetapan bahawa mana-mana kawasan parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai majoriti Melayu hanya ditandingi parti itu pada pilihan raya umum akan datang.

Utusan Online melaporkan Puad sebagai berkata, ketetapan itu boleh dibuat dalam Konvensyen Umno yang akan bermula minggu depan dan diharap turut membangkitkan agar MCA dan Gerakan bertanding hanya di kawasan majoriti Cina.

Katanya, perkara itu perlu dibincangkan serius sebagai mengambil kira sokongan Cina yang makin luntur dan tidak lagi hormat kepada kedua-dua parti itu kerana hanya mengharapkan kawasan majoriti dan sokongan Melayu untuk menang.

Dalam kenyataannya hari ini, Mah juga menyifatkan desakan Puad itu sebagai regresif dan anti-1Malaysia.

“Negara ini perlu bergerak merentasi politik perkauman bagi memastikan masa depan lebih baik,” katanya.

[Baca berita asal]