MB S'gor: Aset air dikembalikan pada rakyat
Kerajaan Negeri Selangor menyatakan sebahagian besar operasi dan aset air akan dikembalikan kepada rakyat setelah pembelian saham antara Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Puncak Niaga Holdings Sdn Bhd (PNHB) berjaya dimuktamadkan semalam.
Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata pembelian saham yang melibatkan syarikat pemegang konsesi air iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) itu akan memudahkan kerajaan negeri menerusi anak syarikatnya, Air Selangor menyusun semula operasi kedua-dua konsesi berkenaan.
"Tumpuan utama akan diberikan kepada usaha mengurangkan kadar air tidak berhasil yang merugikan rakyat serta memastikan bekalan air mencukupi secara berterusan untuk rakyat Selangor.
"Kerajaan negeri juga berhasrat meningkatkan kecekapan perkhidmatan air yang lebih mesra rakyat dan responsif kepada pengguna di seluruh Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya," katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam hari ini.
Jelasnya, pembelian saham yang dibuat pada hari terakhir tempoh masa yang disyaratkan itu adalah tertakluk kepada Perjanjian Induk Penstrukturan Air Selangor bertarikh 12 Sept 2014 yang ditanda tangani antara kerajaan negeri, kerajaan persekutuan serta Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
Menurut Menteri Besar, proses selanjutnya dalam menstrukturkan industri air adalah dengan memuktamadkan pengambilalihan dua lagi syarikat konsesi iaitu Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS) dan Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (Splash) mengikut kerangka dasar demi menjamin kepentingan rakyat Selangor.
Azmin turut yakin pihaknya masih ada ruang untuk memastikan penstrukturan industri air itu dapat memberi nilai terbaik kepada rakyat walaupun kos dan terma pengambilalihan empat syarikat konsesi tersebut diputuskan semasa pentadbiran bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
"Ruang-ruang ini termasuklah memastikan pembinaan Projek Langat 2 (baik dari segi kapasiti, kos kejuruteraan dan pembinaan) dinilai secara objektif oleh wakil-wakil kerajaan negeri supaya tidak ada unsur-unsur pembaziran yang kelak akan membebankan rakyat," katanya.
Beliau turut yakin hasil ketelusan dan keterbukaan yang diamalkan kerajaan negeri kini akan berjaya mencapai persetujuan dengan semua pihak yang terlibat bagi menyempurnakan penstrukturan industri air dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, Abdul Khalid menerusi status laman Facebooknya melahirkan rasa gembira atas pembelian saham kedua-dua syarikat pemegang konsesi tersebut malah menyifatkan segala penat lelahnya semasa mentadbir kerajaan Selangor sejak tahun 2008 berjaya mengembalikan hak air kepada rakyat.
-Bernama

