Usahawan pelancongan: M'sia tak lagi 'Truly Asia'
Kumpulan usahawan pelancongan bukan Islam kecewa dengan keputusan Kementerian Pelancongan menyekat makanan tidak halal daripada dipamerkan dalam satu pesta makanan antarabangsa.
Dengan sinis, kumpuan itu malah mencadangkan agar pesta 'Fabulous Food 1Malaysia' sepatutnya dinamakan 'Fabulous Halal Food' sahaja kerana hanya mempromosi makanan halal.
Persatuan usahawan Malaysia Inbound Tourism Association (Mita) berpendapat, kementerian sepatutnya mampu menyediakan dua tempat atau dewan yang berasingan untuk pameran makanan halal dan makanan tidak halal.
Tidak lagi 'Truly Asia'
“Malaysia tidak lagi 'Truly Asia', sekarang dah jadi 'Malaysia Truly Halal',” kata setiausaha Mita, Leong Hooi Min kepada Malaysiakini ketika dihubungi.
Leong yang terkejut dengan keputusan itu berpendapat, tindakan berkenaan menunjukkan kerajaan mengambil tindakan semakin konservatif dan mundur ke belakang dalam mempromosi Malaysia kepada pelancong antarabangsa.
“Pelancongan sepatutnya satu industri yang terbuka, bukannya ada kaitan dengan unsur agama atau penyembahan.
“Kalau kamu sengaja membuka gerai dan menjual makanan tidak halal di depan masjid, ini perlu dihalang, tetapi bukannya menyekat dalam pesta makanan, ini tidak boleh diterima,” tegasnya.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Datuk Ong Hong Peng yang mengumumkan bahawa pesta makanan yang dianjurkan kementerian tidak akan mempamer makanan tidak halal.
Pengumuman itu rentetan kepada Laporan Ketua Audit Negara yang menegur penganjuran pesta 'Fabulous Food 1Malaysia' pada tahun lepas di Jalan Alor, Kuala Lumpur dan Taman Johor Jaya kerana mempamerkan makanan tidak halal seperti bak kut teh.
Laporan Ketua Audit Negara ini juga menegur kementerian mempamer makanan luar negara seperti sushi (Japan) dan kimchi (Korea) dalam pesta tersebut.
Pendirian bercanggah
Menurut Leong, keputusan Kementerian Pelancongan itu bercanggah dengan matlamat kerajaan untuk menarik lebih banyak pelancong datang ke Malaysia terutamanya selepas tragedi MH17 dan MH370.
“Malaysia menghadapi dua tragedi penerbangan tahun ini dan ini menjejas bilangan pelancong yang mengunjung ke Malaysia, terutamanya pelancong dari China.
“Perdana menteri telah menyeru agar pelbagai strategi diambil untuk menarik pelancong, namun apa yang berlaku kini nampaknya bertentangan dengan seruan PM,” katanya.
Leong berkata, walaupun Malaysia ialah negara Islam, namun ia terkenal di persada antarabangsa dengan kepelbagaian budayanya.
Maka, sepatutnya tidak ada masalah untuk mempromosi semua jenis makanan pelbagai kaum, tegasnya lagi.
“Kita akan terus mempromosi makanan tidak halal kepada pelancong,” katanya.
Buang tema '1Malaysia'
Sementara itu, Presiden Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA) Paul Paw pula berkata keputusan Kementerian Pelancongan menunjukkan ia menerima tekanan besar daripada Audit Negara.
Beliau seterusnya mencadangkan agar tema yang menggunakan slogan '1Malaysia' patut dipadamkan daripada tema 'Fabulous Food 1Malaysia' kerana tiada makanan halal dibenarkan dalam pesta ini.
“Sebaliknya, slogan '1Malaysia' patut digantikan dengan slogan 'halal',” katanya sambil mencadangkan tema ditukar kepada “Fabulous Halal Food”.
“Kita faham Kementerian Pelancongan menerima tekanan besar, namun tema pesta harus dinyatakan dengan jelas,” katanya.

