MP: Tumpu saringan dadah, bukan nombor plat
MP DAP menggesa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menumpukan pada ujian saringan dadah terhadap pemandu bas ekspres dan bukannya operasi khas ke atas kesalahan spesifikasi plat nombor pendaftaran kenderaan.
MP Seputeh, Teresa Kok berkata, operasi ke atas pemilik dengan plat nombor sebegitu juga tidak adil kerana komponen itu kebanyakannya dipasang oleh pengeluar kenderaan.
"Saya juga ingin mengingatkan (Menteri Pengangkutan, Datuk Seri) Liow (Tiong Lai) bahawa majoriti pemilik kenderaan tidak pernah mengubah suai nombor plat mereka.
“Bukankah pengeluar kereta sepatutnya memastikan bahawa kereta yang dijual oleh mereka mempunyai nombor plat yang standard mengikut undang-undang yang diluluskan?," soal Kok.
"Jika pengeluar kereta gagal berbuat demikian, maka mereka (pengeluar kereta) yang perlu menanggung penalti, bukan pemilik kereta," katanya lagi.
Bermula 1 November lalu, JPJ menjalankan operasi khas membanteras penggunaan lampu strob, lampu HID dan nombor pendaftaran kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi.
Menurut JPJ, nombor pendaftaran kenderaan merupakan medium kawalan keselamatan kepada kesalahan utama yang menjadi punca kemalangan dan kematian di jalan raya dan juga bagi menyiasat kes langgar lari.
Jabatan itu juga menjelaskan, operasi itu akan diteruskan dengan memberi fokus hanya terhadap pesalah yang melanggar undang-undang secara serius sahaja.

