Menteri Besar Selangor, Azmin Ali enggan mengulas mengenai desas-desus bahawa kerajaan negeri akan mendapatkan semula wang berjumlah RM2.5 juta yang didakwa disalurkan kepada para pembantu menteri besar sebelum ini.

“Biar saya dapatkan butirannya terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita yang meminta beliau menjelaskan perkara itu hari ini.

Cakap-cakap mengenai perkara itu timbul susulan satu coretan ADUN Seri Andalas, Xavier Jayakumar yang membangkitkan perkara itu dalam satu coretan di Twitter semalam.

Xavier mempersoalkan sekiranya benar kerajaan negeri mengarahkan Menteri Besar Incorporated mendapatkan semula wang terbabit daripada pembantu kepada bebaks menteri besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Ketika dihubungi semalam, Xavier memberitahu Malaysiakini bahawa beliau mendapat maklumat daripada seorang anggota exco Selangor yang diarahkan mendaapatkan semula jumlah tersebut.

Jumlah itu didakwa dibayar sebagai ganjaran kepada tujuh orang pembantu Khalid, termasuk ketua pegawai eksekutif MBI, Faekah Husin dan bekas setiausaha akhbar Khalid, Arfa'eza Abdul Aziz.

Faekah dan Arfa'eza masih mengunci mulut berhubung isu tersebut dan usaha untuk mendapatkan kenyataan mereka masih belum berhasil.

Malaysiakini juga masih cuba mendapatkan reaksi daripada anggota exco terbabit.

[Baca berita penuh]