Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Aku sokong industri, tapi tak percaya AIM'
Diterbitkan:  Nov 16, 2014 1:31 PM
Dikemaskini: 6:06 AM

Penggubah lagu Ajai memutuskan untuk 'memboikot' daripada mendaftar masuk pencalonan untuk sebarang kategori dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) ekoran hilang kepercayaan kepada anugerah terkenal itu.

Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas antaranya tidak puas hati dengan keberkesanan penganjurannya pada masa ini dan ekoran kesilapan pemberian anugerah yang “melucukan”.

“Ini tidak sepatutnya berlaku kerana AIM bukan anugerah main-main. Ini bukan saya pandai-pandai cakap.

“Ini adalah yang semua orang boleh nampak,” beliau dipetik sebagai berkata dalam wawancara di Utusan Malaysia hari ini.

Lagu Terbaik AIM 18 kepada Yuna dilapor ditarik balik tiga tahun lalu dan diberikan kepada lagu Anuar Zain.

Dalam wawancara itu, Ajai menyebut, walaupun tidak ingin terlibat lagi, beliau masih memberi keizinan kepada artis bawah syarikat rakamannya berbuat demikian.

Sementara itu, Ajai juga berkata, beliau rasa membazir untuk membayar RM50 untuk pencalonan tetapi terpaksa berhadapan dengan kelemahan-kelemahan dalam AIM.

Beliau juga membandingkan penganjuran AIM sekarang dengan pengendalian sebelum ini bawah Jennifer Thompsom yang menurutnya menggambarkan keberkesanan melalui pemenang yang dipilih.

“Semuanya ada nilai dan dianggap layak. Sekarang?” soalnya.

Ajai sebelum ini meluahkan perasaannya melalui Twitter berhubung perkara itu yang berbunyi:

“YND. Aku sayangkan industri muzik Malaysia. Aku support (sokong) industri muzik Malaysia. Tapi aku tak percayakan AIM.”

Utusan melaporkan Ajai sebelum ini pernah beberapa kali menggondol anugerah lagu terbaik, album terbaik dan album pop terbaik.

Kali terakhir beliau berjaya mendapat anugerah album pop terbaik 2004 menerusi album EMAS nyanyian Datuk Siti Nurhaliza.

Lihat Komen
ADS