Nenek dipenjara kerana curi langsir
Diterbitkan: Nov 17, 2014 7:38 PM | Dikemas kini: Nov 17, 2014 7:41 PM
Seorang nenek dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri langsir dan sarung kusyen di sebuah pasaraya di ibunegara semalam.
Hamsiah Ahmad, 56, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh juru bahasa mahkamah di hadapan Majistret Zuraini Abdul Razak.
Dia didakwa mencuri satu set langsir dan dua set sarung kusyen yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM617 di Pasaraya Aeon Seksyen 1 Wangsa Maju, di ibunegara pada kira-kira jam 9 malam.
Hamsiah didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.
Ketika rayuan, Peguam Zulkifli Awang memohon Mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap anak guamnya atas alasan tertuduh menghidap penyakit darah tinggi selain bergantung hidup sepenuhnya pada anak-anak beliau.
Hamsiah menjaga cucu ketika anak-anaknya keluar bekerja.
Sementara itu, di mahkamah yang sama, seorang lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan kakaknya.
Mohd Hafiz Abd Rahman, 28, dituduh melakukan kesalahan itu terhadap Norazrina Abd Rahman, 39, dengan menggunakan tali pinggang kayu sehingga mangsa luka di dahi dan lebam di bahagian mata kanan serta muka.
Kejadian berlaku di rumah bapa mereka di D-0-7 Flet Sri Perindu, Jalan 7/15D Alam Damai, Cheras pada 10 malam 13 Nov lepas.
Dia dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana
dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.
Ketika rayuan, Mohd Hafiz yang tidak diwakili peguam memohon jaminan terhadapnya dikurangkan atas alasan beliau mengalami trauma dan gangguan tekanan perasaan sejak kematian isterinya akibat kemalangan jalan raya yang ngeri, Jun lepas.
Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam sebelum itu menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 sebelum mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin.
Kedua-dua kes pendakwaan dikendalikan oleh Najwa Bistamam.
- Bernama

