Anggota parlimen Pandan Rafizi Ramli menyerahkan dokumen sokongan kepada speaker berhubung usulnya untuk merujuk Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Dewan Rakyat.

Ini ekoran Ahmad didakwa mengeluarkan kenyataan bercanggah berhubung isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebelum ini.

Ahmad ( kanan ) pada Khamis lepas berkata, kerajaan tidak pernah mengeluarkan surat sokongan untuk mengambil alih hutang RM9.6 bilion 1MDB

Walaupun tidak dapat hadir ke Dewan Rakyat hari ini kerana mengalami demam viral, Rafizi berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada “kebijaksanaan dan kejujuran” speaker dan anggota Dewan Rakyat untuk memutuskannya.

“Saya sedia maklum kenyataan media Datuk Ahmad Maslan yang berpendapat perkara ini sepatutnya tidak dipanjangkan.

“Namun, soal hutang 1MDB adalah soal negara dan rakyat yang terbesar yang perlu terus diberikan perhatian, bukannya ditutup dengan mudah,” katanya yang juga naib presiden PKR.

Ahmad hari ini menggesa Rafizi tidak memanjangkan usahanya untuk merujuknya ke jawatankuasa itu dan menganggap perkara itu selesai kerana “pembangkang tidak berupaya untuk mempertahankan dakwaan”.

Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini, yang sudah bersedia membuat keputusan, berkata Rafizi tidak menyerahkan dokumen yang dimintanya.

Ahmad berkata telah menyerahkan kepada speaker semua dokumen relevan untuk menjawab tuduhan Rafizi.

Dalam kenyataannya hari ini, Rafizi berkata, walau apa pun keputusan speaker mengenai usul itu, beliau dan anggota parlimen Pakatan Rakyat lain akan terus “membongkar” masalah hutang 1MDB itu.