Tindakan jika bayaran RM2.6j tak ikut peraturan
Tindakan akan diambil sekiranya sejumlah RM2.6 juta yang didakwa dibayar kepada lapan pembantu menteri besar yang lalu Tan Sri Khalid Ibrahim, tidak mengikut garis panduan.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata pihaknya telah memulakan siasatan berhubung aduan mengenai pembayaran tersebut, lapor akhbar The Star hari ini.
"Kami sedang menyiasat dan akan mengambil tindakan," kata beliau seperti dilapor akhbar itu.
Beliau salah seorang daripada tiga anggota lembaga Menteri Besar Incorporated (MBI). Dua lagi adalah menteri besar dan pegawai kewangan negeri.
Sejumlah wang itu didakwa dibayar ketika penghujung perkhidmatan Khalid sebagai menteri besar sebelum penggantinya Azmin Ali mengambil alih.
Antara pembantu yang dilapor didakwa menerimanya ialah bekas ketua pegawai eksekutif MBI Faekah Husin, Setiausaha Akhbar Arfa’eza Abdul Aziz dan Setiausaha Politik Mustapa Mohd Talib.
Dilaporkan Azmin berkata isu itu akan dibincangkan pada minggu ini dalam mesyuarat lembaga MBI sebelum apa-apa keputusan dibuat dan laporan penuh berhubung perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat exco pada 12 November lalu.

