'Penempatan polis di Jakim pada fasa akhir'
Proses penempatan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan agama Islam negeri kini berada pada fasa terakhir, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Beliau berkata pihaknya sedang menunggu perjawatan yang disediakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi melaksanakan penempatan anggota dan pegawai berkenaan.
"Kami sedang berada di peringkat terakhir dan akan diselesaikan dalam masa terdekat dalam memperolehi perjawatan melalui JPA bagi tujuan pengisian anggota polis di setiap negeri bagi penguatkuasaan dan pendakwaan kes-kes menyentuh Mahkamah Syariah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pegawai Penguatkuasa Agama dan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia di Melaka hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka Datuk Yaakub Md Amin.
Katanya langkah itu mampu melicinkan penguatkuasaan dan pendakwaan kes-kes jenayah syariah melalui pengalaman sedia ada anggota berkenaan dalam pasukan PDRM.
Selain itu, Jamil Khir berkata anggota polis berkenaan juga telah memahami kaedah penguatkuasaan secara bersepadu dengan agensi penguatkuasaan lain dan mampu digerakkan pada bila-bila masa yang diperlukan.
Dalam pada itu, beliau berkata anggota polis berkenaan tidak akan dikenali sebagai 'polis syariah' kerana ia boleh mengelirukan orang ramai.
Katanya mereka merupakan anggota PDRM yang ditempatkan menerusi perjawatan kader serta akan bekerjasama secara langsung dengan bahagian penguatkuasaan dan pendakwaan Jakim dan Jabatan Agama Islam negeri.
Beliau turut menegaskan bahawa penguatkuasaan oleh anggota polis berkenaan hanya melibatkan kesalahan yang dilakukan orang Islam sahaja.
-Bernama

