Bas terjunam ke dalam sungai
Dua penumpang dan seorang pemandu bas berdepan detik mencemaskan setelah bas yang mereka naiki terjunam ke dalam Sungai Muda ketika dalam perjalanan dari Baling ke Sungai Petani, dekat Baling semalam.
Dalam kejadian pada kira-kira jam 4.20 petang itu, bas berkenaan terjunam sedalam hampir 15 meter dari Jambatan Syed Omar ke dalam sungai yang terletak berdekatan Kampung Pantai Cicar, Kuala Ketil dekat Baling.
Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Sungai Petani Rohayu Shaffie berkata 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani tiba di tempat kejadian sebaik menerima panggilan.
Operasi menyelamatkan mangsa turut dibantu anggota Jabatan Pertahanan Awam, Polis dan Rela, katanya di sini.
Pemandu bas berkenaan Azman Hamid, 50, dan penumpang terbabit, seorang rakyat tempatan dan seorang warga asing mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Sultan Abd Halim, Sungai Petani untuk rawatan.
Jambatan berkenaan masih ditutup kepada lalu lintas berikutan kerja-kerja menarik naik bas berkenaan sedang dijalankan.
Sementara itu di Setiu, seorang remaja perempuan mati lemas selepas terjatuh ke dalam telaga di Kampung Jelapang, Bandar Permaisuri, petang semalam.
Dalam kejadian pada jam 4 petang itu, Norsyakirah Izati Nazliza, 13, dipercayai mengikut datuknya Mat Daud Dollah, 73, menahan pukat di sebuah bendang yang terletak kira-kira 25 meter dari rumah mereka.
Ketua Polis Daerah Setiu DSP Ab Rahman Raja Mohamed berkata mangsa dipercayai terjatuh ke dalam telaga yang ditenggelami air di bendang itu.
Katanya, insiden berkenaan disedari dua sepupu mangsa yang segera memaklumkan kejadian itu kepada datuk mereka.
"Telaga tersebut agak dalam dan tidak dapat dilihat kerana dipenuhi air dan gerakan mencari mangsa dijalankan dengan bantuan penduduk kampung.
"Mayat mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Chalok itu ditemui tidak lama kemudian," katanya ketika dihubungi semalam.
Mayat dihantar ke Hospital Setiu untuk bedah siasat.
- Bernama

