BERITA

BN S'gor terhina, tolak peruntukan RM200,000

Zulaikha Zulkifli

Diterbitkan
Dikemaskini 25 Nov 2014, 10:12 pagi

Wakil rakyat BN Selangor menolak peruntukan RM200,000 setahun yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri kepada setiap ADUN pembangkang di negeri itu.

Selain rasa terhina dengan pemberian itu, Ketua Pembangkang Datuk Shamsudin Lias berkata, kesemua 12 wakil rakyat BN menolaknya kerana jumlah yang diberi tidak sama dengan jumlah yang diperolehi ADUN Pakatan Rakyat.

"Kita tolak atas dasar prinsip. Prinsipnya keadilan. Sebenarnya, pada kita, kita rasa satu penghinaan. Kita adalah wakil rakyat.

"Apa beza dengan mereka yang juga wakil rakyat tetapi dapat dalam RM700,000. Kalau fikir dasar keadilan, kena bagi (jumlah) sama.

"Kalau nak bagi, bagi (jumlah) sama. Itu baru namanya adil," katanya pada sidang media di lobi Dewan Annex, Shah Alam hari ini.

Selain itu, ditanya adakah wakil rakyat BN akan kekal menolak wang peruntukkan tersebut, Shamsudin dengan tegas berkata: "kita menolak".

Ketika ditanya lagi sama ada mereka akan menerima sekiranya wang peruntukkan diberi sebanyak RM700,000, Shamsudin berkata, beliau tidak mahu membincangkan tentang perkara itu lagi.

"Perkara itu kita tak mahu bincangkan lagi," kata ADUN Sungai Burong ringkas.

Semalam, Menteri Besar Mohamed Azmin Ali mengumumkan bahawa kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM2.4 juta bagi memberi peruntukan sebanyak RM200,000 setahun kepada setiap 12 orang wakil rakyat BN mulai tahun depan.

Semasa membentangkan belanjawan 2015, Azmin berkata, peruntukan itu diberi bagi tujuan Program Mesra Rakyat serta meningkatkan khidmat wakil rakyat kepada rakyat dan menjamin prinsip demokrasi.

Selain wakil rakyat BN, ADUN Pakatan turut mendapat peruntukkan yang ditambah iaitu sebanyak RM700,000 setahun serta sejumlah RM100,000 setahun kepada penyelaras parlimen yang dilantik oleh kerajaan negeri.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.