PKR berkata dakwaan pemimpin Umno bahawa Akta Hasutan 1948 mesti dikekalkan untuk melindungi orang Melayu, Raja-Raja Melayu dan agama Islam adalah "tidak berasas" kerana Perlembagaan Persekutuan sudahpun menyediakan perlindungan itu.
 
Dalam satu kenyataan hari ini, ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Latheefa Koya berhujah bahawa peruntukan dalam perlembagaan tidak boleh dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja sendiri.
 
Oleh itu, katanya, dakwaan Umno itu "adalah benar-benar mengelirukan dan tidak mempunyai asas undang-undang atau perlembagaan".
 
"Perlembagaan Persekutuan yang melindungi kedudukan istimewa orang Melayu (Perkara 153); Bahasa Melayu (Perkara 152); Raja-Raja (Perkara 181), dan Islam sebagai agama Persekutuan (Perkara 3).
 
"Menurut Artikel 159, peruntukan ini tidak boleh dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja," kata Latheefa yang juga seorang peguam.
 
Akta Hasutan tegasnya, tidak menyedia atau menjamin apa-apa terhadap hak-hak di atas.
 
Katanya, Akta Hasutan adalah undang-undang keras penjajah yang bertujuan untuk menangani pemberontakan komunis dan mengekalkan pemerintahan penjajah British.