BERITA

Azmin rayu BN terima peruntukan RM200K

Zulaikha Zulkifli

Diterbitkan
Dikemaskini 28 Nov 2014, 1:06 pagi

Menteri Besar Mohamed Azmin Ali hari ini 'merayu' kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN supaya menerima wang peruntukan sebanyak RM200,000 setahun yang akan diberi oleh kerajaan negeri mulai tahun depan.

Ketika berucap pada sesi penggulungan Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2015, Azmin meminta supaya wang itu diterima demi kepentingan rakyat.

"Pendirian kerajaan negeri adalah kekal dengan peruntukan untuk setiap ADUN pembangkang iaitu RM200,000 setahun kepada 12 ADUN. Ia dikekalkan.

"Saya senyum ini, OK? Terimalah untuk rakyat. Ini merayu ni. Saya merayu terimalah. Demi rakyat," kata Azmin sambil tersenyum.

Selepas itu, Ketua Pembangkang Datuk Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) berdiri dan memberitahu bahawa, pihaknya akan cuba mempertimbangkan pemberian itu.

Bagaimanapun, katanya, atas dasar prinsip, jumlah yang diberikan perlu sama seperti yang diterima oleh ADUN Pakatan Rakyat.

"Kita pun bekerja untuk rakyat. Saya sering berasaskan kepada prinsip. Wakil rakyat tak kira pembangkang atau tidak, dipilih oleh rakyat. Kepentingan kena bersama. Jumlah kena sama. Atas dasar prinsip.

"Kita menolak atas dasar prinsip. Kalau benda ini atas dasar keikhlasan, kita akan mesyuarat balik untuk kaji kedudukan sebenar," kata Shamsudin.

Perkara itu menyebabkan Azmin sekali lagi memberi penjelasan bahawa setiap DUN menerima jumlah wang yang sama iaitu sebanyak RM700,000.

Bagaimanapun, di setiap DUN yang dimenangi BN, Azmin menjelaskan, hanya RM200,000 diberi kepada ADUN dan selebihnya kepada penyelaras DUN.

'Masuklah Pakatan, dapat RM700,000 '

Dengan nada bergurau, Azmin bagaimanapun berkata, jumlah RM700,000 boleh diperoleh oleh Shamsudin sekiranya beliau menyertai Pakatan.

"Sekurang-kurangnya, pemberian peruntukan ini permulaan yang baik. Mungkin ia akan membuka hati Sungai Burong untuk menerima tahun depan. Kita boleh pertingkatkan (jumlah peruntukan).

“Setiap yang mula mesti dengan langkah pertama. Langkah pertama RM200,000. Langkah seterusnya, kalau Yang Berhormat masuk Pakatan, dapat RM700,000," kata Azmin sambil ketawa.

Kemudian, Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) pula bangun dan mempersoalkan sama ada Tan Sri Khalid Ibrahim (Bebas-Pelabuhan Klang) menerima jumlah yang sama dengan ADUN Pembangkang yang lain.

Khalid tidak hadir pada sidang hari ini.

"Yang Berhormat sebut 12 ADUN BN, bagaimana dengan sahabat saya di sebelah ini (Khalid) tak disebut. Walaupun tak sebut, dia ini pejuang juga," kata Sulaiman berseloroh.

Azmin kemudian membalas kenyataan Sulaiman itu dengan mengatakan bahawa Khalid juga akan menerima peruntukan dengan jumlah yang sama dengan ADUN pembangkang iaitu RM200,000.

“Semenjak bila Permatang prihatin dengan Pelabuhan Klang? Baru hari ini Permatang ambil berat dan prihatin dengan Pelabuhan Klang.

“Pelabuhan Klang juga kita akan bagi RM200,000. Itu prinsip," kata ADUN Bukit Antarabangsa itu lagi.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.