Dua belah tangan dan kaki kiri dari paras lutut hingga tapak kaki ditemui terapung di tali air belakang sebuah stesen minyak di Simpang Ampat, di Nibong Tebal semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata anggota badan manusia itu ditemui pekerja stesen minyak tersebut pada 7 malam.

    

Kaki kiri yang ditemui itu lengkap berseluar jeans biru dan ia sepadan dengan kaki kanan yang ditemui di tali air Jalan Kampung Permatang, Sungai Bakap kelmarin, katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Jarak antara Simpang Ampat dan Sungai Bakap kira-kira tiga kilometer dan polis percaya anggota badan itu milik warga asing kerana tiada suntikan BCG, katanya sambil memberitahu dua belah tangan dan kaki kiri itu dihantar ke Hospital Sungai Bakap.

    

Semalam, kaki kanan dari paras lutut hingga tapak kaki ditemui terapung di tebing tali air di Jalan Kampung Permatang, tidak jauh dari lokasi mayat seoranglelaki tanpa kepala, tangan dan kaki ditemui pada Khamis lepas.

Sementara itu di Alor Gajah, seorang lelaki mati lemas akibat dihanyutkan air deras setelah dipercayai terjatuh ke dalam sebuah kawasan tadahan air di Durian Tunggal semalam.

Timbalan Penguasa Bomba Melaka Kamarulzaman Mohd Din berkata, Mohd Zaki Mohd Yasin, 30, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Bukit Balai Alor Gajah dan cuba menyeberangi tebing yang ditenggelami air dalam kejadian pukul 1.40 petang.

    

"Ketika kejadian ada saksi yang cuba hendak membantu tetapi gagal... mayat mangsa berjaya ditemui anggota bomba pada 6.40 petang tidak jauh dari tempat mangsa dipercayai jatuh," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata seramai 21 anggota bomba termasuk lima anggota pasukan penyelam skuba bomba terlibat dalam operasi mencari mangsa.

    

Katanya, bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 1.56 petang sebelum sampai ke tempat kejadian kira-kira 40 minit kemudian.  

Kamarulzaman berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.  

    

Manakala seorang seorang lelaki maut apabila tersepit antara sebuah van dan tembok konkrit di Lobi Utama, Bangunan Majlis Agama Islam Melaka lewat petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata kejadian itu berlaku semasa mangsa yang dikenali sebagai Norazam Abd Razak, 43, dipercayai menghidupkan enjin sebuah van ketika berada di bahagian pintu pemandu tanpa menyedari gear kenderaan itu bukan dalam keadaan neutral.

    

Beliau berkata dalam kejadian pukul 6.40 petang itu, van yang dihidupkan itu kemudian terlajak lalu mengakibatkan mangsa tersepit antara pintu van dan tembok berhampiran.

    

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat cedera di bahagian dada dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang wanita Azyati Jamaludin, 22, maut setelah motosikal yang ditungganginya dilanggar sebuah kereta di Jalan Sungai Udang pukul 5.10 petang kelmarin.

Shaikh Abdul Adzis berkata mangsa yang sedang dalam perjalanan dari Sungai Udang ke Tanjung Kling dipercayai cuba memotong sebuah kereta di hadapannya tetapi gagal dan terjatuh di laluan bertentangan, sebelum dilanggar sebuah kereta lain di laluan itu.

    

Beliau berkata mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

 

- Bernama