Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan(NOW) mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempertahankan “maruah dan janji” beliau untuk menghapuskan Akta Hasutan 1948.

Pengarah NOW Akmal Nasir berkata, pihaknya kesal dengan tindakan Najib yang mungkir untuk menghapuskan akta kontroversi itu.

“Tindakan Najib memperketatkan akta tersebut bukan sahaja bakal menyekat kebebasan bersuara tetapi juga penyaluran dan penyebaran maklumat terutamanya berkenaan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Akmal berkata, NOW sependapat dengan pendirian Badan Peguam Malaysia bahawa alasan menjaga keamanan dan keharmonian tidak boleh diguna pakai.

“Akta ini sering dijadikan alat untuk mengukuhkan kuasa pemerintah dengan menafikan hak demokrasi melalui penindasan dan kekerasan hukuman.

“Tindakan undang-undang terhadap mereka yang mengkritik atau menyuarakan pendapat atas alasan menghasut boleh disalahgunakan oleh mereka yang berkuasa untuk menyekat rakyat daripada mempersoalkan isu-isu berkaitan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa,” ujarnya.

Akmal berkata, langkah terbaru kerajaan itu akan menakutkan rakyat dan menghalang pemberi maklumat tampil demi melindungi kepentingan awam dan kekayaaan negara.

“NOW juga amat khuatir bahawa akta ini berkemungkinan akan terus digunakan untuk melindungi individu-individu berkepentingan politik yang disyaki terlibat dengan kes-kes rasuah dan sebagainya.

“Sedangkan mereka yang berani dedahkan fakta dan bukti penyelewengan kepada orang ramai bakal dihukum atas kesalahan menghasut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akmal membangkitkan kes ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli yang disiasat bawah Akta Hasutan pada Julai 2014 kerana mendedahkan dokumen dakwaan salah guna kuasa Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan,Datuk Seri Hasan Malek kepada Bank Rakyat.

“Jika kerajaan benar-benar serius untuk membanteras rasuah dan mewujudkan pentadbiran yang telus dan transparensi, kerajaan perlulah berani memberi ruang kepada rakyat untuk memberi pendapat bagi menilai kemajuan negara dan menyuarakan kritikan yang sewajarnya sekiranya berlaku penyelewengan atau ketirisan,” ujarnya.