Suara Rakyat Malaysia (Suaram) berharap punca sebenar kematian seorang pegawai perubatan di Langkawi yang tergantung sejak 2010 terungkai dengan mahkamah memberikan kebenaran melakukan bedah siasat kedua.

NGO hak asasi itu hari ini menggesa Mahkamah Tinggi Alor Star yang mengadakan perbicaraan esok dapat memberikan kebenaran itu kepada keluarga mendiang Dr Sebastian Joseph.

Menurut Suaram, keluarga mendiang mahukan proses bedah siasat kali ini dijalankan oleh pakar bedah Australia Dr Richard Byron Collins.

Suaram berkata, Sebastian meninggal dunia dalam keadaan “mencurigakan” pada 15 November empat tahun lalu ketika berusia 30 tahun di dalam rumahnya.

Sijil kematiannya mencatatkan punca kematian itu “tidak diketahui”.

Bagaimanapun, NGO itu berkata mereka kesal kerana laporan bedah siasat itu dikeluarkan setelah lima bulan meskipun diadakan sehari selepas mendiang meninggal dunia.

"...hal ini menyebabkan berlaku kecurigaan orang ramai sama ada terdapat usaha menutup sebab kematian mendiang Dr Sebastian Joseph yang sebenar," kata Suaram dalam kenyataannya hari ini.

Suaram berkata anggota keluarga pula hanya dimaklumkan "memerlukan masa" apabila bertanyakan perkara itu kepada polis.

Keraguan juga timbul, kata Suaram yang telah berbincang dengan keluarga di mati, timbul kerana mendiang dijumpai mati dalam keadaan melutut dan kedua-dua tangannya tergenggam.

Ahli keluarga juga mempersoalkan mengapa bedah siasat itu dilakukan oleh pegawai perubatan biasa dan bukan pakar oleh hospital setempat.