RM ditutup lemah kesan harga minyak jatuh
Diterbitkan: Dec 1, 2014 9:20 PM | Dikemas kini: Dec 1, 2014 9:55 PM
Ringgit ditutup lemah berbanding dolar Amerika Syarikat hari ini, kesan kejatuhan berterusan harga minyak, kata seorang peniaga.
Pada 5 petang hari ini, ringgit disebut harga pada 3.4320/3350 berbanding 3.3450/3480 Jumaat lepas, lapor
Bernama
.
Peniaga itu berkata ringgit terjejas akibat kejatuhan harga minyak kerana Malaysia selaku negara pengeksport komoditi tersebut akan mencatat penurunan pendapatan daripada sektor berkenaan.
Ringgit juga diniagakan rendah berbanding kebanyakan mata wang utama.
Unit tempatan itu jatuh berbanding dolar Singapura kepada 2.6237/5280 daripada 2.5932/5963 pada Jumaat dan rendah berbanding yen pada 2.8969/8004 daripada 2.8614/8644.
Ia juga turun berbanding pound British kepada 5.3725/2785 daripada 5.3075/2125 dan menyusut berbanding euro kepada 4.2701/1749 daripada 4.2053/1100.
Sementara itu, Reuters melaporkan Ringgit Malaysia dijangka mengalami kemerosotan dua hari yang paling besar sejak krisis kewangan Asia 1997-1998 ketika harga minyak yang merudum mengancam melemahkan ekonomi pengeksport minyak.
Ringgit susut 2.4 peratus kepada 3.4300 per dolar pada 0653 GMT (4.53 petang) daripada penutup hari Khamis 3.3465, demikian menurut data Thomson Reuters.
Awal hari ini, mata wang Malaysia merosot sehingga 3.4375 - yang paling lemah sejak Februari 2010.
Itu akan menjadi kemerosotan dua hari terbesar sejak Julai 1998, demikian menurut data tersebut. Pada tahun 1998, Malaysia menambat ringgit pada 3.8000 dan menariknya pada bulan Julai 2005.
Saham Kuala Lumpur rugi hampir 3 peratus selepas Petroliam Nasional Bhd (Petronas), syarikat minyak negara Malaysia, berkata pada hari Jumaat bahawa ia merancang untuk mengurangkan perbelanjaan modal tahun depan sebanyak 15-20 peratus.
"Ia hanya menambah kepada kesan negatif," kata Jonathan Cavenagh, pakar strategi kanan FX dengan Westpac di Singapura.
"Saya mengesyaki sehingga minyak stabil, ringgit berdepan risiko terus jatuh."
Ringgit mungkin melemahkan kepada 3.4500 dan sasaran seterusnya ialah 3.4700-3.500, kata Cavenagh.
Harga minyak mencecah paras terendah dalam tempoh lima tahun, selepas kejatuhan terbesar mereka dalam 2 1/2 tahun, minggu lalu ketika Opec menahan memotong pengeluaran dalam menghadapi lebihan bekalan.

