Polis telah menahan seorang lelaki warga Filipina susulan beberapa kejadian pecah rumah dan mencuri di pulau bebas cukai ini.

Siasatan awal polis mendapati bahawa sekurang-kurangnya sembilan kejadian pecah rumah dan kes kecurian berlaku sejak awal tahun ini.

Suspek berusia 30 tahun yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah diberkas di Kampung Muslim pada 22 Nov lepas.

Ketua Polis Labuan, Supt Adzhar Othman memberitahu sidang media hari ini bahawa sebahagian barang curi yang ditemui daripada suspek termasuk pelbagai jenis barangan berjenama, jam tangan, kamera digital, telefon bimbit, komputer riba dan mata wang asing.

Beliau berkata barangan itu mungkin dicuri dari rumah di kawasan sekitar bandar dan polis turut merampas beberapa peralatan untuk pecah rumah.

- Bernama