PAS Kedah mahu Datuk Mashitah Ibrahim mencadangkan kepada kerajaan agar memberi ruang kepada artis yang berhijrah melebarkan dakwah mereka kerana kemunculan mereka boleh merubah masyarakat menjadi lebih baik.

Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Kedah Mohd Azam Abdul Samat turut menyarankan supaya bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri menghormati dan merangsang masyarakat menutup aurat dan berhijrah daripada kelalaian dan ke arah kebaikan.

"Maka kesediaan para artis yang berhijrah untuk berkongsi menceritakan kehidupan mereka yang baru, serta mengajak masyarakat menjauhi kehidupan yang melalaikan serta meninggalkan maksiat adalah satu amanah amar maaruf nahi munkar yang terpuji dan menepati kehendak Islam.

"Mereka tidak menghukum individu-individu tertentu, jauh sekali mengeluarkan hukum atau mengeluarkan fatwa songsang," kata ADUN Sungai Limau itu

"Penyertaan mereka dalam PAS atau menghadiri program-program anjuran PAS adalah kerana PAS menyokong penghijrahan mereka dan menyediakan ruang dakwah untuk mereka selain PAS berperanan untuk membawa mereka kepada Islam yang syumul."

Mohd Azam mengulas kenyataan Mashitah yang dilapor lantang mempertikaikan kebanjiran artis berhijrah seterusnya bergelar ustaz ekspres dan ustazah jadian, terutama dalam PAS.

 

Dalam kenyataannya, pemimpin PAS itu juga mengesyorkan supaya kerajaan menyediakan garis panduan lebih Islamik khususnya dalam setiap program hiburan, drama dan filem yang disiarkan di dalam negara kita.

"Unsur dakwah dalam drama dan filem kita jelas amat kurang, sedangkan drama dan filem merupakan medan dakwah yang luas dan belum diterokai dengan tuntas oleh karyawan di negara kita.

"Amatlah diharapkan supaya semua pihak memberikan ruang dan peluang untuk sesiapa sahaja yang ingin berubah ke arah kebaikan. Sesungguhnya Allah amat menyukai orang yang bertaubat dan kembali ke jalan-Nya.

"Amat rugilah mereka yang diberikan hidayah, tetapi menolak hidayah apabila sampai seruan kepadanya. Semoga Allah sentiasa memberikan hidayah dan menganugerahkan kita mengikuti petunjuk-Nya," katanya.