Bekas menteri penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin berkata usaha untuk mengesan masyarakat Cina yang cenderung menyokong komunisme kini lebih mudah.

Katanya, sikap golongan tersebut yang kini "lebih berani dan agresif" akan melicinkan tindakan pasukan keselamatan untuk menyisihkan mereka dari masyarakat.

Beliau mengulas mengenai penganjuran majlis makan malam kontroversi untuk memperingati veteran Parti Komunis Malaya di Pulau Pinang, pada hari Sabtu lalu.

 

"Pihak keselamatan khususnya polis wajar berterima kasih kerana gulongan buta sejarah itu telah mendedahkan diri mereka  sebagai keturunan pengganas, pengkhianat dan penderhaka.

"Semakin ramai anasir ini muncul, semakin mudah untuk kita memisahkan mereka dari arus perdana, menjadikan mereka sebagai golongan antisosial dan sebagai musuh negara.

"Biar mereka terasing dari aliran perdana. Lebih banyak yang terasing lebih baik untuk Malaysia," katanya lagi.

Beliau seterusnya mengaitkan tindakan DAP yang didakwanya memperjuangkan “cauvinisme Cina” sehingga menyebabkan golongan terbabit berani mendedahkan diri mereka.

“Biasanya ramai yang mahu menyebunyikan diri sebagai keturuan jahat tetapi fikiran sebahagian orang Cina di negara ini telah berubah.

“DAP menjadi berani dan agresif apabila melihat kemajuan cauvinisme Cina yang diperjuangkan oleh DAP,” katanya lagi.

Menurut polis, majlis makan malam itu dikatakan berkaitan dengan kain rentang yang mempromosikan komunisme yang memaparkan gambar bekas Setiausaha Agung PKM Chin Peng yang ditemui di Butterworth minggu lalu.

[Baca berita penuh]