Mahkamah ketepi hukuman Ibrahim Ali
Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan hukuman penjara dan denda RM20,000 terhadap Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali kerana menghina mahkamah.
"Walaupun saya telah menjalani hukuman penjara sehari, saya menerimanya dengan baik," kata Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali kepada pemberita selepas keputusan mahkamah itu di Putrajaya.
Ibrahim yang dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Nov 2013, berkata beliau pernah ditahan sebanyak dua kali di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.
"Syukur kepada Allah S.W.T kerana selama ini, saya tahu bahawa saya sebenarnya tidak bersalah," katanya.
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Abdul Wahab Patail membenarkan rayuan Ibrahim untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati beliau bersalah kerana menghina mahkamah berhubung penerbitan sebuah artikel dalam laman web berkaitan bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk V T Singham.

